Soon Huat, Shevon ke final Terbuka Singapura

971
Soon Huat dan Shevon Jemei Lai akan menentang pilihan utama dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, pada aksi final esok
Soon Huat dan Shevon Jemei Lai akan menentang pilihan utama dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, pada aksi final esok

BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terus mempamer magis di Kejohanan Badminton Terbuka Singapura apabila mara ke final selepas menumpaskan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, hari ini.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan kedua, tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan set terus 21-18 21-14 dalam aksi di Stadium Tertutup Singapura.

Soon Huat-Shevon yang merangkul kejuaraan Terbuka Jerman Mac lalu bagaimanapun berdepan tugas sukar dalam misi memburu gelaran kedua tahun ini apabila bakal menentang pilihan utama dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, esok.

Jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang bagaimanapun menganggap ia peluang buat anak buahnya untuk menguji kemampuan sebenar bagi membantu mereka mempersiapkan diri menjelang Kejohanan Dunia di Nanjing, China, hujung bulan ini.

“Saya harap mereka dapat beri aksi terbaik, bermain seperti biasa tanpa perlu rasa takut dan tertekan kerana lawan mereka bukan calang-calang.

“Perlawanan hari ini, mereka bermain dengan baik dan mengawal perlawanan. Mereka lebih sabar dan berani mengambil risiko ketika melakukan serangan, itu sesuatu perkara yang positif ditunjukkan mereka, saya harap mereka boleh kekalkan momentum,” katanya.

Komen anda