Spurs idam khidmat Dybala

116

TOTTENHAM Hotspur sedia memecahkan rekod perpindahan kelab itu untuk mendapatkan pemain Juventus, Paulo Dybala.

Memetik laporan media antarabangsa, Spurs sudah bersedia menawarkan £90 juta (RM413 juta) kepada The Old Lady untuk membawa masuk bintang Argentina itu.

“Spurs sudah menghubungi Juventus memaklumkan hasrat mereka itu dan Juventus juga sedang dalam perbincangan untuk menerima atau tidak tawaran itu.

“Namun, sumber menyatakan Juventus sedia melepaskan Dybala dengan harga tersebut dan hanya perlu menunggu persetujuan pemain itu pula,” kata laporan itu.

Dybala sebelum ini dikaitkan berpindah ke Manchester United dan The Red Devils dilaporkan sudah mencuba untuk memujuk keluarga pemain itu berpindah ke England.

Selain United, Dybala juga dikaitkan dengan Paris Saint Germain (PSG) yang turut menawarkan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan penyerang itu.

Tawaran tinggi daripada Spurs itu bakal menguntungkan Juventus yang sebelum ini hanya membeli Dybala dengan harga £40 juta (RM183 juta) dari Palermo pada 2015.

Ia sekali gus memecahkan rekod pemain termahal yang pernah dibeli Spurs yang sebelum ini telah mendapatkan Tanguy Ndombele dari Lyon pada harga £65 juta (RM298 juta) awal bulan ini.

Dybala kini masih berehat dan tidak menyertai jelajah pramusim Juventus selepas mewakili Argentina dalam saingan Copa America baru-baru ini.

Komen anda