[SS Bongkar!] Angkara ‘entiti ghaib’, hasrat Syazwan Andik sertai Selangor berkecai?

7468
Syazwan (kanan) bersama wakil FAS, Datuk Rauf dan Nazab pernah mengadakan pertemuan sebelum ini.
Syazwan (kanan) bersama wakil FAS, Datuk Rauf dan Nazab pernah mengadakan pertemuan sebelum ini.

 

SEDANG kemelut membabitkan Akhyar Rashid dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) belum menemui titik noktah, tiba-tiba sahaja angin sepoi-sepoi bahasa bertiup dari ibu kota membawa perkhabaran yang hampir sama.

 

Dikhabarkan seorang pemain muda yang memperkuatkan Kuala Lumpur musim lalu menjadi rebutan beberapa pasukan gergasi Liga M, sehingga timbul ura-ura sudah ada rundingan pintu belakang oleh pihak tertentu (Wallahualam).

 

Rasanya persoalan siapa pemain itu, bukan lagi rahsia memandangkan namanya sudah tersebar menghiasi dada-dada akhbar dan portal sukan seluruh negara. Beliau tidak lain dan tidak bukan, tonggak pertahanan kiri Harimau Malaya, Syazwan Andik Ishak.

 

Shah Alam: Ogos 26 2017: Pemain Malaysia Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak cuba melepasi pertahanan Indonesia Putu Gede Juni Antara pada perlawanan separuh akhir Sea Games Kuala Lumpur 2017. Foto Sinar Harian/Rosli Talib

 

Seperti yang dicanang sejak akhir-akhir ini, ‘saham’ Syazwan naik mendadak selepas beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan hingga membuatkan anak jati Skudai itu menjadi sasaran pasukan-pasukan besar.

 

Bagaimanapun, cubaan ‘memancing’ anak muda itu tidaklah mudah memandangkan pasukan yang berminat perlu menebus kontraknya dengan KLFA yang hanya akan berakhir penghujung 2019 (teringat kisah Akhyar dan kontraknya, cuma berbeza jalan cerita).

 

Namun, semua itu tolak ke tepi kerana ada cerita lebih menarik berjaya dicungkil Sukan Sinar membabitkan figura bernama Syazwan Andik ini.

 

Selepas puas mengekori rapat perkembangannya, maka terbongkarlah satu kisah bertemakan ‘cinta terhalang’ di antara Syazwan dengan sebuah pasukan berstatus legenda, Selangor.

 

Alkisahnya, sumber terdekat kedua-dua pihak tampil mendedahkan betapa seriusnya Selangor yang juga juara 33 kali Piala Malaysia untuk mendapatkan khidmat Syazwan bagi musim 2019.

 

Sumber itu berkata, sejak dari awal Selangor sudah menyatakan minat terhadap Syazwan dan menariknya, Gergasi Merah tidak bertepuk sebelah tangan apabila pemain itu turut menyimpan rasa yang sama. Senang kata, suka sama suka!

 

“Lampu hijau telah diberi, Selangor pun segera menghantar rombongan hendak meminang. Tapi apakan daya, dia masih milik orang..”

 

Jelas sumber itu, pinangan tersebut menemui jalan buntu gara-gara ada halangan membabitkan beberapa pihak dan lebih berat lagi, ia turut melibatkan satu nama besar bola sepak yang tidak perlu disebutkan nama.

 

“Syazwan memang mahukan angin baharu bersama Selangor memandangkan dia sudah tiada hati dengan KLFA yang sehingga kini masih belum menyiapkan kontrak baharu untuk musim 2019.

 

“Tapi malangnya, dilema lebih besar menanti hingga membuatkannya tersepit apabila ada kelibat ‘entiti ghaib’ yang cuba menahan keinginannya selain turut mahu mengongkong perjalanan kariernya,” kata sumber itu yang enggan mendedahkan siapa ‘entiti ghaib’ yang dimaksudkan.

 

Melihat kepada apa yang berlaku, timbul persoalan terhadap apa nasib yang menanti anak muda berbakat besar ini yang sedang dijadikan mangsa keadaan.

 

Dalam usia semuda ini, Syazwan mungkin dianggap mudah untuk diperkotak-katikkan yang mana itu memberi gambaran betapa tidak sihatnya suasana musim perpindahan Liga-M selepas digemparkan dengan kontroversi Akhyar sebelum ini.

 

Jelaslah, tersepit dalam keadaan sebegini ibarat mimpi ngeri buat Syazwan. Namun, semua itu boleh dielak jika beliau bijak mengatur strategi demi memastikan bakatnya terus berkembang dan tidak dipersiakan, waima sekadar mengisi bangku simpanan sekali pun.

 

Walau apa sekali pun pilihan perjalanannya nanti, Syazwan perlu lebih berhati-hati dan jangan sesekali tersilap langkah jika tidak mahu sahamnya merudum lebih awal seperti yang pernah terjadi kepada beberapa nama besar sebelum ini.

 

Akhir kata, semoga dilema ini mematangkan Syazwan di masa akan datang dan Sukan Sinar mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan namanya terus mekar untuk menjadi antara pemain terbaik pernah dihasilkan negara ini.

 

Komen anda