SSPL 2018/19: Kepong BC tiada masalah akhiri cabaran Serdang BC

476
Petersen Mads Conrad- Wu Qian Qian menumbangkan pasangan Serdang BC, Liu Lin- Yap Qar Siong seterusnya melengkapkan kemenangan Kepong BC.

KELAB Badminton (BC) Kepong menepati ramalan apabila melepasi peringkat suku akhir SS Purple League (SSPL) 2018/19 selepas menewaskan Serdang BC 10-4 di Arena Of Stars, Resorts World Genting tadi.

Bagaimanapun Kepong BC menerusi Soong Joo Ven bermula agak perlahan selepas tewas dalam aksi perseorangan lelaki kepada Leong Jun Hao sekaligus tewas tipis 2-3 (11-5 5-11 10-11 11-6 10-11).

Kepong BC mula menunjukkan taring dalam acara perseorangan wanita selepas itu apabila pemainnya, Qin Jin Jing dari China mudah menumbangkan pemain Serdang BC, Wei Yawen 3-0 (11-5 11-9 11-7) untuk kembali mendahului keseluruhan 5-3.

Beregu lelaki Kepong BC, Mohd Arif Abdul Latif- Nur Mohd Azriyn Ayub mengukuhkan lagi kedudukan pasukannya apabila mudah mengatasi pasangan Serdang BC, Lwi Sheng Hao- Mohd Syazmil Idham Zainal Abidin 3-0 (11-9 11-8 11-5) untuk di depan 8-3 secara keseluruhan set.

Kemaraan Kepong BC dilengkapkan pasangan beregu campuran mereka, Petersen Mads Conrad- Wu Qian Qian yang menumbangkan pasangan Serdang BC, Liu Lin- Yap Qar Siong 2-1 (11-10 8-11 11-7).

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Kepong BC, Mohd Zakry Abdul Latif berkata, “Saya dapat rasakan pada mulanya kita agak tertekan, mungkin Joo Ven juga terlalu mahukan kemenangan sehingga memerangkap dirinya sendiri, namun kawan-kawan lain dapat menang 3-0 dan itulah memberikan kelebihan semula kepada kita tadi.”

“Kita akan bertemu Ampang Jaya BC di separuh akhir, lawan yang sukar dan mereka juga belum tewas kali ini. Apapun, kami tetap akan bersatu untuk melakukan terbaik sekaligus melakar kejutan,”kata Zakry.

Untuk rekod, Kepong BC naib juara SSPL musim lalu selepas tewas 8-10 kepada Puchong United BC dalam aksi sengit di pentas final.

Jin Jing menumbangkan pemain Serdang BC, Wei Yawen tadi.

Komen anda