SSTMI Thunderbolts mengganas belasah ‘adik’

38

SSTMI Thunderbolts terus mengukuhkan penguasaan dalam saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2019 apabila membelasah ‘adik’ mereka, SSTMI Juniors 11-1 di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor kelmarin.

Kejayaan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah SSTMI Thunderbolts dan mereka semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi tahun lalu.

Kapten SSTMI Thunderbolts, Muhammad Amirul Hamizan Azhar serta Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul mencipta hatrik; Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee meledak dua gol manakala Muhammad Ikhmal Hakim Mohd Rodzi, Muhajr Abdu Rauf dan Muhammad Hafiz Mohd [email protected] Zahari masing-masing menyumbang satu gol.

SSTMI Juniors pula memperoleh gol sagu hati tujuh minit sebelum tamat perlawanan menerusi jaringan sudut penalti Azimuddin Syakir Kamaruddin.

Sementara itu, BJSS Thunderbolts kekal menghuni kedudukan ketiga liga selepas menjinakkan Anderson Thunderbolts 3-1.

Muhammad Amirul Khairuddin meletakkan BJSS di hadapan hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-11 sebelum Anderson bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohamad Syazwan Syafiq Basir berselang beberapa minit kemudian.

Bagaimanapun, gol Mohd Faris Khamis pada minit ke-43 dan Muhd Danish Aiman Khairul Anuar enam minit sebelum perlawanan berakhir memastikan tiga mata berharga buat BJSS.

Perlawanan lain menyaksikan SMKDBL-UNIKL-PHJ MSNJ mencatat kemenangan 2-0 ke atas MSN/SSN/ PHPs Young Lion; Sabah Jr (SSMS-SHA/PHS) menumbangkan KL Wipers 4-2 dan MSNT-PHT-MSST tewas 1-3 kepada SSMS Resilient.

Komen anda