Stadium sunyi..Pemain Harimau Malaya terkesan…

519

 

SUASANA suram Stadium Nasional Bukit Jalil tanpa gegak gempita bunyi sorakan ‘chant’ Ultras Malaya jelas dirasai pemain negara.

 

Pemain sayap, Mohamadou Sumareh mengakui perbezaan situasi ini berbanding pada Kejohanan AFF Suzuki baru-baru ini memberi kesan kepada moral pemain yang tewas 0-1 di tangan Singapura malam tadi.

 

“Anda tahu bagaimana suasana dengan sokongan padu Ultras Malaya. Tetapi hari ini (semalam) ianya senyap sunyi.

 

“Sudah tentu jika adanya sorakan padu mereka akan menaikkan kembali semangat kami seperti di saingan AFF sebelum ini. Walaupun ketinggalan, kami mampu bangkit bila adanya sokongan padu.

 

“Ya saya tahu itu bukan alasan untuk kami beraksi lebih baik, tetapi sejujurnya, sorakan mereka sangat membantu kami,” katanya.

 

Sementara itu, bagi Zaquan Adha Abdul Razak pula, kekalahan ini nyata bukan mudah untuk ditelannya dan rakan sepasukan.

 

Ujarnya, tiada apa lagi perlu dilakukan, selain berusaha memulihkan kembali semangat mereka sebelum aksi menentang Afghanistan untuk penentuan tempat ketiga dan keempat pada Sabtu.

 

“Bukan rezeki untuk menang dan saya perlu akui kami tidak bermain sebagaimana kebiasaan. Saya sendiri banyak peluang tapi gagal memanfaatkannya.

 

“Apa pun, sebagai pemain, kami tidak boleh berputus asa. Walaupun situasi ini bukan mudah, kami perlu segera pulihkan semangat untuk perlawanan kedua nanti,” katanya.

 

 

Komen anda