Steinebrunner angkat kaki, Beck Junior tunggu masa

333
Steinebrunner memutuskan meninggalkan Kelantan selepas menamatkan kontrak atas persetujuan bersama Kafa.

RIFQIE RUZAIEN

JODOH Peter Jorg Steinebrunner bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berakhir lebih awal apabila khidmatnya ditamatkan atas persetujuan bersama, semalam.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan Pengarah Teknikal Kafa itu bersetuju menamatkan kontrak dengan masing-masing memilih haluan berbeza selepas mencapai kata sepakat dalam perbincangan melibatkan kedua-dua pihak itu.

Menurutnya, keputusan melepaskan jurulatih kelahiran Jerman itu dibuat kerana pihaknya tidak mahu berdepan sebarang risiko setelah terpaksa mengurangkan perbelanjaan pasukan bagi menghadapi baki saingan musim ini.

“Saya panggil Jorg (Steinebrunner) dan Flavio (Beck Junior) dan saya beritahu Kafa tak nak berlaku masalah tunggakan gaji (sekiranya terus mengekalkan mereka) pada masa depan.

“Kita nak elak benda ini berlaku, saya beritahu dia KRW (Kelantan Red Warriors Sdn Bhd) tak bayar gajinya. Saya ambil tanggungjawab bayar gajinya dan dia faham masalah Kelantan malah turut memotong tunggakan gajinya,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya masih menunggu kata putus daripada Beck Junior sama ada bersetuju atau sebaliknya berhubung tawaran penamatan kontrak secara persetujuan bersama itu.

“Kalau ikutkan kontrak dia boleh keluar bila berlaku macam (tak bayar gaji lebih dua bulan) ini tapi kita tak mahu dia keluar dengan cara tak elok tanpa ada sebarang perbincangan.

“Kita dah cerita masalah dalaman Kafa kepada dia. Sekarang hanya tunggu keputusan, dia belum tandatangan lagi dan setakat ini tak boleh cakap dia sudah tidak bersama Kelantan,” katanya.

Mengenai kedudukan seorang lagi pemain import iaitu Cassio de Jesus, Bibi Ramjani menyerahkan kepada jurulatih baharu, Yusri Che Lah untuk tentukan masa depannya bersama pasukan itu.

“Cassio ini sudah lama bersama Kelantan dan kontraknya juga di bawah Kafa. Namun segala-galanya bergantung kepada Yusri, nanti,” ujarnya.

 

 

 

 

 

Komen anda