Sudah tiba masa Farizal ganti tempat Khairulazhan?

5873
AKSI kurang memuaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid menjadi antara topik yang hangat diperdebatkan penyokong The Red Giants akhir-akhir ini.

Tinjauan Sukan Sinar di ruangan komen Facebook rasmi FA Selangor dan laman-laman penyokong, rata-rata mereka meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi penjaga gol utama itu, terutama pada aksi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu yang menyaksikan Selangor tewas buat kali kedua berturut-turut di laman sendiri.

Perlawanan itu menyaksikan Khairulazhan dibolosi empat kali dengan dua daripadanya didakwa sebagai gol mudah hasil kesilapan penjaga gol berusia 30 tahun itu.

Gol mudah itu terhasil ketika JDT menjaringkan gol kedua (dijaringkan Diogo Luis Santo) dan keempat (Leandro Velazquez) yang mana Khairulazhan gagal menangkap kemas bola menyebabkan bola muntah itu berjaya dirampas tonggak import JDT untuk menggegar jaring Selangor.

Senario membimbangkan itu membuatkan segelintir penyokong Selangor menggesa ketua jurulatih, B Sathianathan merehatkan sementara penjaga gol berpengalaman itu dan menggantikannya dengan penjaga gol kedua, Farizal Harun.

Sathianathan ketika mengulas insiden itu berkata, beliau perlu meneliti rakaman video terlebih dahulu untuk mendapatkan gambaran sebenar dan jika benar, beliau akan bersemuka dengan Khairulazhan.

“Jika anda (wartawan) berkata seperti itu (Khairulazhan buat kesilapan), saya perlu melihat kembali video dan akan bercakap dengannya secara peribadi.

“Seboleh-bolehnya, saya tidak suka menyalahkan atau menjatuhkan moral pemain. Tetapi dalam hal ini, saya tahu dia (Khairulazhan) boleh melakukan lebih baik lagi.

“Saya harap dalam tempoh rehat tujuh hari ini, dia dapat perbaiki segala kekurangan. Apa pun, kita perlu tunggu dan lihat dari semasa ke semasa,” katanya.

Jika benar didapati ada kesilapan dilakukan penjaga gol utama Selangor itu, berkemungkinan, aksi menentang Kuala Lumpur di Cheras nanti akan menjadi debut pertama Farizal Harun bersama Selangor.

Untuk rekod, Farizal pernah menjadi antara tonggak penting Sathianathan ketika membantu Felda United menjuarai Liga Premier musim lalu.

Komen anda