Suka duka LTdL

193

SELEPAS pelbagai ketidaktentuan dan tanda-tanya sebelum Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan penganjuran edisi ke-24 Le Tour de Langkawi (LTdL) diberikan kepada Human Voyage Sdn Bhd, banyak pihak berasa sangsi sama ada jelajah berbasikal terulung Asia itu akan mencapai matlamat atau sebaliknya.

Dengan hanya beberapa minggu persediaan dan persiapan, segala-galanya tampak terlalu suntuk tetapi apabila Human Voyage mengadakan majlis pelancaran laluan dan kemudian memperkenalkan syarikat petroleum nasional Petronas selaku penaja rasmi, barulah peminat berbasikal lega dan ternanti-nanti akan acara tahunan itu.

Perubahan tarikh baharu pada April nyata memberi sedikit tamparan apabila penganjur gagal menarik penyertaan pasukan berstatus Pro Tour, namun kemasukan semula laluan ke Genting Highlands menyelamatkan seri jelajah berstatus 2 Hors Classe (HC) itu.

Bermula dengan Peringkat 1 dari pekarangan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan berakhir di Tampin, sedikit sebanyak kerisauan mula terhakis dan pada peringkat-peringkat seterusnya, perjalanan perlumbaan LTdL 2019 berjalan lancar tanpa sebarang masalah sehingga mengundang pujian Presiden Komisar yang dilantik Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Sven Calus.

Kemunculan pemenang Jersi Kuning, Benjamin Dyball daripada pasukan tempatan, Sapura Cycling Team serta kejayaan pelumba Terengganu Inc Cycling Team, Harrif Saleh mengungguli Peringkat 2 dari Muar ke Melaka menggembirakan para peminat tempatan sebelum kemeriahan pendakian ke puncak Genting Highlands dapat disaksikan semula selepas empat tahun.

Dalam peloton pula, kayuhan menerusi tempo yang pantas pada setiap peringkat dengan purata kelajuan melebihi 45 kilometer per jam turut menarik perhatian peminat dari seluruh dunia, lebih-lebih lagi ia dilakukan para pelumba di bawah cuaca panas tropika.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemenang sempena Jelajah LTdL 2019 peringkat kelapan mengelilingi Pulau Langkawi sejauh 103.8 kilometer. Pemenang keseluruhan Jersi Kuning diungguli pelumba dari Sapura Cycling Team Benjamin Dyball (dua,kiri), pemenang Raja Pecut (jersi hijau) Travis Mccabe (kiri), manakala pemenang Raja Bukit Jersi Merah dimenangi oleh pelumba Oliver’s Real Good Racing Angus Lyons (dua,kanan) dan Pemenang Pelumba Terbaik Asia Jersi Putih diungguli oleh Pelumba Vino Astana Motors Pronskiy Vadim (kanan). Turut sama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage Datuk Ahmad Mustafa, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir
.

Edisi ke-24 ini pasti menjadi detik bersejarah dalam karier Dyball; Raja Pecut daripada Floyd’s Racing Pro, Travis McCabe; Raja Bukit, Angus Lyons (Oliver’s Real Food Racing) serta Pelumba Terbaik Asia, Vadim Pronskiy (Vino-Astana) untuk membuka mata pasukan handalan dunia selepas ini, seperti mana yang pernah dilakukan nama-nama besar dalam sukan berbasikal yang mencipta nama di pentas LTdL seperti Alesandro Petacchi, Fred Rodriguez, Jose Serpa, Marcel Kittel dan terbaharu, Caleb Ewan.

Dua peringkat terakhir di Langkawi turut menonjolkan semula nama pulau legenda itu sebagai tempat kelahiran LTdL sehingga mengundang pujian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir melepaskan para pelumba pada hari pertama sebelum kembali ‘turun padang’ pada hari terakhir untuk menyampaikan hadiah dan jersi pemenang.

“Mula-mula dulu ketika LTdL diperkenalkan, orang tak nampak tetapi sekarang mereka boleh nampak kejayaannya. Kita juga boleh nampak kemeriahannya hidup semula, ramai yang keluar dan datang untuk melihat perlumbaan sepanjang lapan hari.

“Rakyat Malaysia gembira dengan acara ini dan nama Langkawi turut menjadi pusat sukan, riadah dan tumpuan acara berbasikal,” jelas Mahathir.

Komen anda