Sukan SEA 2019: Atlet petanque ke Filipina atas tiket MOM – Norza

80

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengambil keputusan untuk menghantar atlet petanque negara di bawah naungannya ke temasya Sukan SEA 2019 Filipina, November ini, selepas Persatuan Petanque Malaysia (PPM) digantung dalam semua kejohanan oleh badan dunia itu.

 

 

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, proses pemilihan khas akan dianjurkan untuk memilih atlet petanque terbaik ke Sukan SEA 2019 yang bermula 30 November hingga 11 Disember ini.

 

 

PPM digantung oleh Persekutuan Petanque Antarabangsa (FIPJP) kerana didakwa berkaitan isu kewangan dan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan ketika menyertai pertandingan antarabangsa.

 

 

“PPM telah digantung oleh FIPJP dan oleh itu proses pemilihan khas akan diadakan untuk atlet sukan berkenaan. Atlet petanque akan sertai temasya sukan di bawah naungan MOM,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM, di sini, kelmarin.

 

 

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad petanque negara berjaya menyumbangkan dua pingat emas menerusi Muhamad Hafizuddin Mat Daud dalam acara perseorangan lelaki serta gandingan Saiful Bahri Musmin dan Syed Akmal Fikri Syed Ali bagi acara beregu lelaki.

Komen anda