Sukan SEA 2019 Filipina: BAM tetap hantar skuad terbaik

103
Choong Hann

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak akan mengetepikan temasya Sukan SEA meskipun barisan pemain negara berdepan jadual padat ekoran memburu slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, BAM akan mempersiapkan skuad terbaik bagi menghadapi temasya itu dan pada masa sama memantau kondisi pemain untuk menghadapi Jelajah Akhir Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Guangzhou selepas Sukan SEA 2019.

“Berhubung Sukan SEA kita akan menghantar pemain terbaik yang mampu meraih pingat. Saya percaya prestasi di temasya berkenaan tidak akan mengganggu mereka bagi baki saingan kelayakan Sukan Olimpik 2020,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil2/2019 untuk sukan badminton di sini semalam.

Dalam pada itu, Choong Hann berkata, bahawa BAM kini sedang dalam proses membentuk skuad ke temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung November ini, dan turut mengambil kira penyertaan pemain profesional.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan pemain profesional berkenaan sama ada mereka bersedia berbuat demikian atau tidak, katanya.

“Kita juga akan memantau senario pemain menjelang Jelajah Akhir Dunia BWF. Kita akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan sebaik mungkin. Namun ia bukan perkara luar biasa buat pemain untuk beraksi dalam kejohanan secara berturut-turut.

“Mengenai sasaran pingat pula, kita masih belum ada secara spesifik tetapi akan memaklumkan kepada semua selepas mempunyai maklumat lengkap,” katanya.

Choong Hann berkata, pada masa ini, latihan akan berjalan seperti biasa sehingga Sukan Olimpik 2020 dan Sukan SEA juga bakal dijadikan sebagai ‘hentian pit’ sebelum destinasi paling penting di Tokyo.

Mengenai perkembangan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, Choong Hann berkata, beliau memberi penjelasan mengenai status terkini pemain berusia 36 tahun itu yang perlu diberikan masa untuk menyesuaikan diri sebelum kembali beraksi di kejohanan antarabangsa.

“Mengenai Chong Wei, telah dibincangkan sejak beberapa mesyuarat terdahulu. Segala bantuan di sekeliling sedang menunggu masa yang sesuai untuk membantu beliau,” katanya.

Komen anda