Sukan SEA 2019 Filipina: Skuad gimnastik berdepan laluan getir

104

SKUAD gimnastik negara bakal berdepan misi sukar dalam cabaran Sukan SEA November ini, susulan keputusan tuan rumah Filipina yang hanya menyenaraikan acara individu tanpa mempertandingkan kategori berpasukan lelaki atau wanita.

 

Timbalan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Kau Git Kaur berkata usaha untuk meraih pingat emas di temasya sukan itu nanti agak sukar kerana skuad gimnastik negara sentiasa dominan dalam acara berpasukan lelaki atau wanita.

 

Acara yang akan dipertandingkan adalah enam acara all around kategori lelaki dan empat acara aparatus melibatkan melombol, palang tidak sejajar, senaman lantai dan batang titian tidak sejajar bagi kategori wanita.

 

Pada masa yang sama, tuan rumah juga menetapkan peraturan baharu dari segi pungutan mata untuk memihak kepada atlet mereka.

 

“Mereka (tuan rumah) buat satu peraturan di mana daripada enam acara individu lelaki, kiraan mata akan dikira daripada empat acara yang mempunyai mata tertinggi.

 

“Gimnas Filipina contohnya dia bagus dalam satu dua acara, acara lain dia kurang bagus, dengan cara ini mereka dapat kira mata tertinggi sahaja,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Gimnastik Bil 2/2019 di sini semalam.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, MGF kini memberi fokus terhadap latihan gimnas dalam acara all around individu lelaki dan kesemua acara kategori wanita.

 

Katanya pemilihan ke Sukan SEA 2019 akan dimuktamadkan selepas menilai prestasi gimnas melalui beberapa siri kejohanan antarabangsa yang akan disertai dalam masa terdekat antaranya Terbuka Singapura dari 1 hingga 3 Jun dan Kejohanan Asia di Mongolia pada 18 Jun.

 

Pada masa ini, tujuh gimnas lelaki dan sembilan wanita sedang menjalani latihan untuk ke Sukan SEA 2019, dengan dua daripada gimnas wanita sedang dibelenggu kecederaan.

 

Beliau berkata, MGF juga sedang menunggu jawapan dari Jepun untuk skuad negara berlatih di sana kerana negara berkenaan mempunyai fasiliti yang lengkap memandangkan mereka bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020.

 

Sasaran pingat untuk Sukan SEA hanya akan diumumkan setelah semua acara yang akan dipertandingkan di temasya itu dimuktamadkan, katanya.

Komen anda