Sukan SEA 2019 Filipina: Skuad muay thai negara sasar satu emas

149
Foto: FB Muaythai Malaysia

PERSATUAN Muaythai Malaysia (PMM) menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

Presiden PMM, Datuk Paduka Muhammad Shahnaz Azmi berkata, sandaran emas berkenaan diletakkan kepada dua atlet muaythai iaitu Mohamad Rifdean Masdor dan Mohd Fazzatkie Mohd Zaki berdasarkan prestasi cemerlang yang dipamerkan mereka dalam beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa.

“Kita menyasarkan satu pingat emas, namun kita melihat dua atlet iaitu Mohamad Rifdean dalam kategori 45kg dan Mohd Fazzatkie dalam kategori 57kg berpotensi meraih pingat emas, tapi ini tidak bermakna atlet lain tidak mampu memberikan persembahan terbaik pada Sukan SEA nanti,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja dengan Majlis Sukan Negara, di sini, semalam.

Ditanya mengenai penyertaan Sukan SEA 2019, Muhammad Shahnaz memaklumkan skuad negara bakal bertanding dalam lima kategori termasuk satu kategori wanita memandangkan Filipina hanya membenarkan negara ASEAN lain menyertai lima kategori sahaja.

Muhammad Shahnaz Azmi
Foto kredit: Astro Arena

Dalam pada itu, beliau berkata skuad negara giat menjalani latihan dan pertandingan di Wilayah Lopburi, Thailand melibatkan 16 atlet dan jurulatih sejak Februari lepas, sambil mendedahkan Kejohanan Muaythai Dunia di Bangkok, Thailand pada Julai ini menjadi medan pemilihan atlet ke Sukan SEA 2019.

“Atlet kita telah menyertai banyak kejohanan di Macau, Hong Kong, dan Australia, baru-baru ini tapi penunjuk prestasi utama ke Sukan SEA 2019 adalah Kejohanan Dunia.

“Kita memilih Thailand kerana persatuan kita mempunyai hubungan rapat dengan persatuan di negara berkenaan, selain negara berkenaan mempunyai reputasi cemerlang di peringkat antarabangsa dalam sukan muaythai,” katanya.

Muhammad Shahnaz menjelaskan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi tempoh sehingga Julai ini kepada MMA untuk memuktamadkan atlet muaythai yang akan beraksi pada Sukan SEA 2019.

Untuk rekod, Malaysia meraih dua emas dalam acara muaythai pada Sukan SEA 2013 di Myanmar dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Komen anda