Sukan SEA 2019 Filipina: Status kategori Syakilla belum diputuskan

111
Nur Azmi Ahmad Foto kredit: Stadium Astro

PERSEKUTUAN Karate Malaysia (MAKAF) belum memutuskan kategori bakal diwakili ratu karate negara itu pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November depan susulan masalah berat badan dihadapi Syakilla Salni Jefry Krisnan.

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, badan induk itu memberi kelonggaran kepada Syakilla untuk memilih kategori yang sesuai dengan berat badannya, sama ada acara Kumite bawah 55kg, bawah 61kg atau 61kg ke atas.

“Untuk Sukan SEA, Syakilla tidak sepatutnya ada isu kerana dia ada masalah berat badan sahaja. Dari segi kategori terpulang kepada dia, jika dia boleh terus dengan bawah 55kg, dia kena terus fokus dan berusaha keras untuk sampai ke tahap itu. Tapi peluang dia bukan mudah.

“Dia kena bersaing dengan beberapa atlet dalam setiap kategori untuk raih slot ke Sukan SEA. Kalau Syakilla hendak bertanding bawah 55kg dia kena bersaing dengan tiga lagi atlet, manakala bagi bawah 61kg atau 61kg ke atas, dia kena berentap dengan dua atlet lain dalam setiap kategori itu,” katanya.

Nur Azmi berkata MAKAF tidak mahu meletakkan tekanan ke atas Syakilla berhubung masalah berat badan yang dihadapinya, namun mencadangkan agar atlet berusia 27 tahun itu memberi fokus kepada kategori 61kg ke atas.

Pada masa ini, berat badan Syakilla yang meraih pingat emas acara Kumite bawah 55kg pada Sukan SEA 2017, adalah 67.95kg dan beliau terpaksa bekerja keras jika mahu bertanding dalam kategori bawah 55kg.

Dalam perkembangan sama, Nur Azmi berkata MAKAF meletakkan sasaran empat pingat emas daripada sembilan acara yang akan disertai pada Sukan SEA 2019.

“Kita jangka dua pingat emas daripada acara Kumite dan dua dalam acara Kata. Namun dengan adanya atlet yang berpotensi kini, skuad karate mungkin boleh menyumbangkan lebih banyak pingat,” katanya.

Mengulas lanjut, Nur Azmi berkata pihaknya sudah menyenaraikan 22 atlet untuk Sukan SEA 2019, namun hanya 14 atlet akan dipilih termasuk lima atlet simpanan.

“Kalau fokus pingat tetapi tiada atlet pun tidak boleh. Kita sudah nampak atlet ada menunjukkan kemajuan dan kita akan tentukan atlet berpotensi melalui beberapa kejohanan sebelum serahkan senarai pendek nama atlet (kepada Majlis Olimpik Malaysia) pada akhir Ogos ini,” katanya.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad karate negara muncul juara keseluruhan setelah meraih tujuh pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

Komen anda