Sukan SEA 2019: Hantar pemain senior keputusan tepat – Roslin

70

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY

CADANGAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu menghantar pemain senior ke saingan Sukan SEA 2019 di Filipina November ini sebagai satu tindakan tepat.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim berkata, Malaysia seharusnya tidak memandang rendah saingan Sukan SEA apatah lagi cabaran sukar bakal ditempuh kem negara menentang seteru utama seperti Indonesia dan juga Thailand.

“Bagi saya jika sasaran untuk dapatkan pingat, kita kena hantar pemain senior. Kita kena tengok negara-negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia yang sudah semakin meningkat. Singapura juga mampu mencipta kejutan dalam saingan temasya ini.

“Kesemua negara ini akan menghantar pasukan terkuat mereka dan dalam situasi ini saya rasa kita kena buat perkara sama. Sebelum ini juga dalam Sukan SEA yang lalu kita dah jauh terkebelakang dan pasukan Thailand dan Indonesia lebih banyak menang pingat,” katanya.

Untuk rekod, dua edisi terakhir Sukan SEA menyaksikan Chong Wei Feng bagi kategori perseorangan lelaki dan Amelia Alicia Anscelly serta Soong Fie Cho bagi kategori beregu wanita memenangi emas pada edisi 2015 di Singapura manakala Goh Jin Wei memenangi emas dalam katergori perseorangan wanita pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Bagi kategori berpasukan lelaki pula, kali terakhir skuad negara berjaya memenangi emas adalah pada 2005 manakala untuk kategori wanita adalah pada 2009 di Laos.

Roslin yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2001 melihat peluang cerah dimiliki beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, serta beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem jika dipilih ke temasya dwitahunan itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui keresahan pemain senior negara yang sedang mengumpul mata ke Olimpik dengan menyertai beberapa kejohanan antarabangsa dan Sukan SEA dikhuatiri akan mengganggu persiapan mereka.

“Memang sukar untuk pemain jika terlepas dua atau tiga kejohanan antarabangsa kerana mereka akan tercicir mata.

“Dalam hal ini perlu perbincangan dengan BAM untuk memastikan ia situasi menang-menang untuk kedua-dua belah pihak. Pusing-pusing macam mana pun ia untuk negara,” katanya.

Komen anda