Sukan SEA 2019: Jin Wei disenaraikan dalam skuad 20 pemain ke Filipina

79
Infografik BAM

PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei akan mempertahankan emas Sukan SEA di Filipina, November ini, meskipun tidak beraksi di pentas antarabangsa sejak Mei lalu akibat menjalani rawatan kerana masalah kesihatan berkaitan perut yang dialaminya.

Jin Wei, yang juga bekas juara remaja dunia, turut disenaraikan dalam skuad 20 pemain oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam usaha menepati sasaran dua pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

Jin Wei, 19, yang kini menghuni ranking ke-34 dunia, kali terakhir beraksi pada Kejohanan Piala Sudirman di China, Mei lalu.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia akan mengetuai barisan pemain muda dan berpengalaman dengan pemain perseorangan lelaki Lim Chong King dan Aidil Sholeh Ali Sadikin akan membuat penampilan sulung pada temasya tersebut.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata, mereka melihat kepada pemain berpengalaman untuk membimbing pemain muda dalam memburu kejayaan pada Sukan SEA Filipina, bermula 30 November hingga 11 Disember depan.

“ Kami mahu memberi pendedahan kepada pemain muda sebagai langkah persediaan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, “ katanya dalam kenyataan, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata pemilihan Chong King dan Aidil Sholeh adalah berdasarkan peningkatan yang ditunjukkan dalam beberapa kejohanan lalu termasuk pencapaian terbaru Chong King mengatasi Aidil Sholeh untuk menjuarai Kejohanan Terbuka Hellas 2019 di Sidirokastro, Greece, Ahad lalu.

Selain itu, juara wanita Terbuka Hellas 2019, S Kisona turut tersenarai dalam skuad negara ke Filipina.

Untuk rekod, pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad negara hanya meraih sebutir emas menerusi Jin Wei daripada tujuh pingat emas yang dipertandingkan, selain turut meraih lima perak dan dua gangsa.

Barisan Pemain ke Sukan SEA Filipina 2019.

Perseorangan Lelaki:
Lee Zii Jia; Soong Joo Ven; Lim Chong King; Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Perseorangan Wanita:
Goh Jin Wei; Soniia Cheah, Lee Ying Ying; S. Kisona.

Beregu Lelaki:
Aaron Chia/Soh Wooi Yik; Teo Ee Yi/Ong Yew Sin.

Beregu Wanita:
Vivian Hoo/Yap Cheng Wen; Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean.

Beregu Campuran:
Goh Soon Huat/Shevon Lai; Tan Kian Meng/Lai Pei Jing.

Komen anda