Sukan SEA 2019: Kem mendayung yakin mampu jelmakan kilauan emas

42
Gambar File

ATLET mendayung negara, Eric Lau menjadi taruhan kem sukan berkenaan dalam menjelmakan kilauan emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November depan bagi mengakhiri kemarau pingat utama itu dalam beberapa temasya sebelum ini.

Setiausaha Agung Persatuan Mendayung Malaysia (Perdama), Muhamad Hasnul Aizam Bakin berkata, Eric yang kini berpangkalan dan melanjutkan pengajian di Australia diyakini mampu menyumbangkan pingat berdasarkan prestasinya dalam beberapa kejohanan di negara berkenaan.

Katanya, atlet berusia 19 tahun itu yang akan mengalas cabaran dalam acara lightweight scull perseorangan diletakkan sebagai prospek emas berdasarkan pencapaian positif penuntut itu yang aktif menyertai beberapa pertandingan di negara berkenaan.

“Biarpun masih muda tapi dengan pengalaman menyertai beberapa pertandingan dan bersaing dengan jaguh mendayung di Australia, kami optimis Eric mampu menyumbang satu keputusan positif semasa saingan di Filipina nanti.

“Pada masa sama Mohamad Amirul Norhadi dan Muhammad Khalis Jasniad yang akan beraksi dalam acara beregu lightweight scull turut diletakkan sebagai prospek pingat tanpa mengira warna.

“Sasaran pingat yang dibuat kepada tiga atlet berkenaan berdasarkan pencapaian mereka pada beberapa kejohanan sebelum ini,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Muhamad Hasnul Aizam Bakin berkata, Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA memutuskan meletakkan mendayung dalam Kategori B1 memandangkan sukan berkenaan tidak pernah meraih emas sepanjang penyertaan dalam Sukan SEA sebelum ini.

Kategori B dibahagikan kepada dua bahagian – kategori B1 melibatkan ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), manakala B2 adalah bukan ahli gabungan MOM.

Menerusi kategori B1, persatuan sukan terlibat perlu mendahulukan perbelanjaan atlet masing masing, dan MOM akan membayar semula wang pendahuluan berkenaan sekiranya atlet itu meraih pingat.

Kategori B2 pula bermakna persatuan sukan berkenaan perlu menanggung sepenuhnya perbelanjaan atlet masing-masing, dan MOM tidak akan membayar wang pendahuluan sekiranya atlet berkenaan meraih pingat.

Kali terakhir acara mendayung dipertandingkan adalah pada Sukan SEA 2015 di Singapura yang menyaksikan Malaysia meraih satu pingat gangsa menerusi gandingan Mazlie Daham dan Mohd Zulfadli Rozali dalam acara 1,000 meter berpasangan.

Komen anda