Sukan SEA 2019: MABA sasar skuad wanita pertahan emas

101
Sim Sin Heng

PERSATUAN Bola Keranjang Malaysia (MABA) mahu pasukan wanita negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA pada aksi di Filipina nanti.

Timbalan Setiausaha Agung MABA, Sim Sin Heng berkata, MABA juga turut menyasarkan kilauan pingat ke atas pasukan lelaki pada temasya sukan dwitahunan yang dijadualkan berlangsung November ini.

“Pasukan wanita wajib menang pingat emas dan pasukan lelaki pun kita sasarkan pingat… sebarang warna. Mereka (pasukan lelaki) telah menunjukkan peningkatan prestasi yang cukup baik,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN).

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jeffri Ngadirin di MSN Bukit Jalil, di sini hari ini.

Sin Heng berkata, MABA telah menyedia rancangan persediaan ke Sukan SEA dengan cukup rapi yang mana mereka akan menganjurkan Liga Bola Keranjang Tempatan pada Jun dan Julai, seterusnya kejohanan peringkat kebangsaan dan perlawanan pendedahan di luar negara serta pertandingan jemputan antarabangsa.

Untuk rekod, skuad wanita negara telah memenangi 14 pingat emas acara bola keranjang sepanjang temasya Sukan SEA sejak mula dipertandingkan pada 1977.

Sementara itu, jurulatih skuad­ negara, Yoong Sze Yuin tidak mahu meletakkan sebarang tekanan ke atas pasukan kendaliannya sebaliknya mahu skuad wanita negara pamerkan persembahan terbaik mereka.

“Saya tidak mahu bagi apa-apa tekanan kepada mereka. Yang penting mereka kena positif walaupun kita tahu peluang untuk kita menang bila bertemu Filipina dan Thailand 50 peratus. Ia sentiasa 50-50 (peratus) bila jumpa dua pasukan ini,” katanya.

Sze Yuin berkata sejak Mac, seramai 20 pemain telah dipilih untuk menjalani latihan namun pada penghujung Ogos ini, hanya 12 pemain akan disenarai pendek untuk mewakili negara ke Sukan SEA.

Beliau turut mendedahkan seramai lima pemain bersara dari skuad kebangsaan iaitu Nur Izzati Yaakob, Pang Hui Pin, Chong Yin Yin, Ooi Poh Yee dan Ng Shi Yeng.

Komen anda