Sukan SEA 2019: Peluang Peng Soon, Liu Ying tebus maruah negara

106

BEREGU campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mempunyai peluang cerah untuk disenaraikan ke Sukan SEA Filipina 2019, November ini, selepas skuad negara menerima tamparan hebat dengan hanya merangkul satu emas pada edisi lalu di Kuala Lumpur pada 2017.

Walaupun tidak lagi di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pasangan pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu turut dalam perhatian badan induk itu untuk menggalas cabaran negara pada temasya dwitahunan itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ng Chin Chai menegaskan pihaknya akan menghantar skuad yang terbaik ke Filipina untuk menebus kekecewaan edisi lalu di mana emas tunggal negara diperoleh oleh pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei.

“Buat masa ini kita ada 24 pemain lelaki dan 24 wanita dalam senarai, kita kena buat pemilihan 10 pemain lelaki dan 10 wanita sebelum tarikh akhir pendaftaran atlet pada 15 Ogos ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di sini semalam.

Menurutnya, skuad negara akan menyenaraikan dua entri masing-masing bagi acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Beliau turut mengesahkan pasangan Peng Soon-Liu Ying mempunyai peluang besar untuk disenaraikan.

Sebagai rekod, pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad negara hanya meraih sebutir emas menerusi Goh Jin Wei daripada tujuh pingat emas yang dipertandingkan, selain turut meraih lima perak dan dua gangsa.

Chin Chai berkata, pihaknya perlu membuat perancangan rapi Sukan SEA Filipina 2019 memandangkan Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF akan berlangsung di Guangzhou, China, dua hari selepas acara badminton Sukan SEA tamat.

” Kita kena melihat sama ada pemain yang dipilih ke Sukan SEA itu layak ke Guangzhou. Oleh kerana Jelajah Dunia Akhir BWF menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo, kita perlu mengkaji risiko kecederaan,” katanya.

INFO

Sukan SEA Filipina 2019 akan berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember depan.

 

Komen anda