Sukan SEA 2019: Sasaran lima emas olahraga realistik – Muthu

34
S.M. Muthu

SASARAN yang diletakkan kepada skuad olahraga negara bagi membawa pulang sekurang-kurangnya lima pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini adalah sasaran yang mampu dicapai.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M. Muthu bagaimanapun berkata, sasaran itu mungkin akan berubah, bergantung kepada keputusan yang bakal diperoleh dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung dari 16 sehingga 18 Ogos ini.

“Lima emas itu realistik, tetapi kita perlu tunggu 16 hingga 18 Ogos ini di mana kita ada kejohanan kebangsaan, kemudian baru kita akan boleh buktikan berapa kita akan dapat (pada Sukan SEA 2019).

“Dulu (Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur) kita pernah dapat lapan pingat emas, kini kita mahu dapatkan angka yang lebih kurang sama, tetapi itu ketika kita bersaing dalam negara dan mendapat sokongan penuh (kehadiran penyokong) rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di Bukit Jalil, di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin ketika dalam lawatannya ke sesi latihan skuad akuatik negara memberitahu, pihaknya menyasarkan skuad olahraga negara mendapatkan lima pingat emas dalam temasya tahun ini.

Untuk rekod, skuad olahraga negara berjaya meraih lapan pingat emas pada Sukan SEA 2017.

Komen anda