Syed Saddiq sokong cadangan tabung khas untuk selesai masalah tunggakan gaji

368
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong cadangan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk mewujudkan tabung khas bagi mengumpul dana menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, apa yang paling utama adalah kelab bola sepak harus memastikan mereka mengendalikan kewangan dengan lebih baik agar isu itu tidak berulang.

“Saya rasa bagus ada usaha untuk pelan B tapi pelan yang paling mustahak sekali adalah bagi memastikan kelab dari awal musim perlu mengendalikan kewangan mereka dengan lebih baik kerana kebanyakan mereka menjanjikan gaji lumayan kepada pemain tetapi pada akhir musim tidak mampu tunaikan.

“Yang berjanji ialah kelab tapi yang ‘sakit’ adalah pemain kerana mereka sudah tandatangan kontrak dengan pasukan itu. Saya tidak mahu dengar alasan pelan perniagaan tidak menjadi sehingga menyusahkan pemain,” katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Perkidmatan Cemerlang (APC) KBS di Seri kembangan semalam.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini mendedahkan enam pasukan – Terengganu City FC, Felda United, PDRM, Pulau Pinang dan terkini Perlis berhutang RM4.48 juta membabitkan bayaran tertunggak kepada 22 pemain dan enam pegawai.

Dengan pendedahan itu, PFAM bercadang mengkaji kaedah berkenaan (tabung khas) sebagai pelan B sekiranya pemain terus menjadi mangsa tunggakan gaji. – Bernama

Komen anda