Tak macam dulu…

642
ZURAIMEE ZAINAL
BEKAS pemain negara, Roslin Hashim mengingatkan pemain negara yang keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya mencari  rakan ‘sparring’  kompetitif supaya tahap  permainan mereka kekal berada pada landasan terbaik untuk terus relevan dalam arena sukan itu.
“Pemain ini kena faham mereka akan kehilangan banyak kemudahan tidak seperti ketika mereka berada di bawah naungan BAM sebelum ini yang lengkap semasa sesi latihan seperti rakan sparring.
“Kena ingat bahawa masalah tahap permainan  pemain negara sering menghantui kem badminton negara, jadi apabila mereka bertindak keluar perkara inilah yang perlu mereka berikan perhatian serius bagi mengelak ia menjadi penghalang mereka membuktikan kemampuan mereka.
“Di sinilah pemain ini kena bijak memilih untuk bernaung di bawah kelab yang boleh menawarkan kemudahan terbaik supaya tahap permainan  mereka ini tidak merudum selepas keluar dari BAM,” katanya ketika mengulas tindakan  bekas  beregu lelaki nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meninggalkan BAM berkuat kuasa 5 Januari depan.
Tambah Roslin lagi, beliau melihat situasi semasa penghijrahan pemain elit senior negara keluar dari BAM adalah sesuatu yang positif kerana membolehkan pemain ini bergerak lebih bebas tanpa tertakluk di bawah persatuan berkenaan.
Katanya, dari segi penajaan beliau percaya mereka ini tidak berdepan masalah untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa pada masa depan.
Sebelum ini, beberapa pemain membuat keputusan  keluar daripada badan induk itu berikutan pelbagai sebab antaranya Iskandar Zulkarnain Zainuddin (perseorangan lelaki); Tee Jing Yi (perseorangan wanita) serta Chooi Kah Ming dan Lim Khim Wah (beregu lelaki).

Komen anda