Tak nak kalah dengan CR7, Messi meledak bantu Barca ke suku akhir UCL

466
LIONEL Messi menjadi nadi utama atas kemenangan bergaya Barcelona ke atas Olympic Lyon dalam aksi kedua 16 terbaik Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Pengurus Barca, Ernesti Velverde memuji impak luar biasa yang dipamerkan bintang Argentina itu apabila meledak dua gol dan dua bantuan gol untuk membantu kelab Catalan itu menang 5-1, sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir.

“Kami semua begitu fokus untuk perlawanan ini. Begitu juga Leo (Messi). Dia menunjukkan satu persembahan yang cukup cemerlang dan banyak membantu kami.

“Saya amat berpuas hati dengan sumbangannya dan juga pemain-pemain lain yang bertungkus-lumus memastikan kami terus mendahului lawan.

“Ini dapat dilihat apabila pemain tidak cepat berpuas hati walaupun mendahului 2-0. Barisan serangan kami cukup efektif dan berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang walaupun ada ketika pasukan lawan cuba untuk bangkit,” katanya.

Selain Messi, Philipe Coutinho, Gerard Pique dan Ousmane Dembele menjadi antara penyumbang gol dalam perlawanan di Camp Nou itu.

Dalam pada itu, mengulas siapa lawan yang mahu ditentang Barca pada aksi suku akhir, Velverde lebih gemar mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Semua pasukan beraksi cukup cemerlang untuk mara sampai ke tahap ini (suku akhir). Jadi kami tidak menjangkakan sebarang lawan yang mudah pada aksi suku akhir,” ujarnya.

Dengan tersingkirnya penyandang juara, Real Madrid selain Atletico Madrid, Barcelona kini menjadi wakil tunggal dari Sepanyol yang mara ke peringkat lapan terbaik Liga Juara-Juara musim ini.

Komen anda