‘Tak perlu malu kalah kepada JDT’ – Aidil

161
Penyerang import JDT, Diogo Luis Santos mengelak terjahan pemain Kedah, Renan Da Silva Alves pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.

Oleh: MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu anak-anak buahnya melupakan kekalahan 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Menurut Aidil Sharin, skuad kendaliannya tidak perlu malu tumbang di tangan JDT yang sememangnya tampil sebagai pasukan pilihan selain sedar sukar buat mereka untuk melakar kemenangan di stadium keramat skuad Harimau Selatan itu.

"Tahniah kepada JDT kerana pada malam ini (kelmarin) mereka merupakan sebuah pasukan yang memang bagus. Penting untuk kami belajar daripada kekalahan ini bagi memantapkan permainan dan beraksi lebih baik pada perlawanan akan datang.

"(Kami) tidak perlu malu kalah kepada JDT. Pemain-pemain Kedah bermain dengan baik dalam perlawanan sukar ini dan juga bukan mudah untuk bermain dengan 10 orang pemain," katanya sejurus tamat perlawanan.

Leandro Velasquez meletakkan JDT di hadapan menerusi percubaan menarik daripada luar kotak penalti pada minit ke-33 sebelum penyerang muda berbisa, Safawi Rasid mengesahkan kemenangan tuan rumah menerusi sepakan voli empat minit sebelum perlawanan berakhir.

Kedah terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah tonggak pertahanannya, Mohd Rizal Ghazali mengutip kad kuning kedua kerana mengasari bintang import JDT, Gonzalo Cabrera pada minit ke-70.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, beliau tidak mahu menyalahkan permainan individu pemain di sebalik kekalahan tersebut selain menegaskan fokus mereka tidak boleh terjejas untuk mengharungi perlawanan akan datang.

"Kami mempunyai tempoh rehat yang cukup selama 15 hari sebelum turun menentang Pahang. Sudah tentu kami akan bangkit daripada kekalahan ini untuk mencari mata dalam perlawanan seterusnya.

"Beberapa pertukaran pemain dalam kesebelasan utama juga akan kita buat memandangkan Kedah menghadapi jadual yang padat selain perlu mengharungi saingan separuh akhir Piala FA," katanya.

Komen anda