Tak sangka pilihan Oltmans

125
Foto: Kredit The Star Online
Andrian Andy Albert tekad menampilkan aksi terbaik setelah disenaraikan buat kali pertama bersama Malaysian Tigers untuk aksi di pentas antarabangsa pada siri Jelajah Eropah bermula 21 Julai ini.
Sambil mengakui agak gugup dan terkejut ketika dipanggil menyarung jersi kebangsaan, penjaga gol muda Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu, tidak mahu perasaan tersebut memberi kesan terhadap fokus dan prestasinya pada siri jelajah berkenaan.
Penjaga gol kelahiran Sabah berusia 22 tahun itu berkata, beliau akan memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan ketua jurulatih negara Roelant Oltmans, sambil berharap dapat mempelajari sesuatu yang baharu daripada penjaga gol berpengalaman, S. Kumar pada siri jelajah itu.
“Saya sangat terkejut sebab ada dua lagi penjaga gol yang teratas (lebih baik), dan saya menjadi pilihan ketua jurulatih. Namun, masih banyak yang perlu dipelajari terutamanya daripada Kumar,” katanya kepada pemberita sebelum menjalani latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam.
Muhammad Hafizuddin Othman dan Zaimi Mat Deris adalah antara penjaga gol yang menjadi saingan hebat sebelum Adrian terpilih mengikuti siri jelajah tersebut.
Ketika pengumuman senarai pemain semalam, Andrian dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi menggantikan penjaga gol simpanan, Hairi Abdul Rahman yang mengalami kecederaan lutut.
Sementara itu, Oltmans berkata Andrian terpilih kerana beliau berbakat dan merupakan penjaga gol kedua terbaik selepas Kumar.
“Kumar telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kembali ke latihan. Penting untuk mengetahui siapa penjaga gol terbaik kedua sekiranya Kumar tidak dapat bermain kerana kecederaan pada masa depan.
“Selain Andrian, (penyerang) Muhammad Noor Firdaus Rosdi juga seorang pemain muda yang berbakat…dan tentunya ramai lagi pemain muda (yang berbakat), yang terbaik adalah memperbaiki dan meningkatkan diri untuk bermain dengan pasukan terbaik di dunia,” katanya.
Oltmans juga mengakui skuad Harimau Malaysia itu bertuah kerana berpeluang bermain menentang pasukan terbaik semasa jelajah itu.
“Ia satu peluang yang hebat dapat bermain dengan pasukan terbaik di dunia dan kami perlu menunjukkan kepada mereka bahawa kami cukup kompetitif untuk bermain menentang mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, senarai 20 pemain yang terlibat dalam Jelajah Eropah itu tidak menjanjikan tempat untuk mereka beraksi pada play-off kelayakan Olimpik 2020 yang dijadualkan pada November kerana senarai itu akan dimuktamadkan selepas perlawanan persahabatan menentang Korea Selatan September ini.
Semasa jelajah itu, pasukan negara dijadualkan menentang pasukan dari Jerman, Sepanyol, England, Ireland dan Belgium

Komen anda