TdIJ 2019: Roth ungguli peringkat pertama

150

PELUMBA XSpeed United (XSU), Ryan Roth muncul juara peringkat pertama perlumbaan Tour de Iskandar Johor (TdIJ) 2019 dari Dataran Mahkota, Iskandar Puteri ke Dataran Penggaram di sini, hari ini.

Roth, 36, dari Kanada menamatkan perlumbaan dengan catatan masa dua jam 35 minit 3 saat, sekali gus merangkul Jersi Biru sebagai pendahulu keseluruhan.

Pelumba XSU itu sampai ke garisan penamat selepas bersaing sengit dengan pelumba St. Goerge Cycling Team, Mathew Zenovich di tempat kedua manakala pelumba terkenal dari Team Sapura Cycling, Benjamin Dyball, ketiga keseluruhan.

Roth, Zenovich dan Dyball meraikan kejayaan peringkat pertama TDIJ 2019 dari Dataran Mahkota, Iskandar Puteri ke Dataran Penggaram, Batu Pahat membabitkan seramai 108 pelumba.

Kejayaan tersebut turut membolehkan Roth merangkul Jersi Putih selepas merangkul banyak mata terkumpul di tiga zon pecutan selain Zenovich berjaya memenangi jersi merah sebagai Raja Bukit.

Selain itu, Jersi Hitam iaitu pelumba muda terbaik kejohanan bawah umur 23 tahun dimenangi pelumba XSU, Evan Burtnik.

Sementara itu, Roth semasa sidang media selepas itu mengakui tidak menjangka akan memenangi perlumbaan itu kerana baharu pertama kali menyertai kejohanan berbasikal di negara ini.

 

“Perlumbaan hari ini begitu sengit dan laju dan saya cuba bertindak agresif untuk mendahului perlumbaan.

“Cabaran perlumbaan adalah cuaca panas yang agak menyukarkan kerana kami berlatih dalam suhu sejuk tapi kami sepasukan berjaya mengharunginya hasil kerja sama berpasukan,” katanya.

Majlis penyarungan Jersi Biru kepada Roth disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Johor, Aminolhuda Hassan dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Abu Samah Wahab.

Sementara itu, Zenovich dan pasukannya bertekad mengekalkan Jersi Merah pada perlumbaan esok kerana ramai pelumba mahu cuba merebut gelaran tersebut.

“Perlumbaan esok agak sukar dan zon pendakian pada peringkat awal yang mungkin ada pelumba akan cuba bertindak awal,” katanya.

Roth (depan, kanan) mengungguli peringkat pertama diikuti tempat kedua Zenovich (kiri, depan) dan Dyball ketiga (belakang) pada TdIJ 2019 dari Dataran Mahkota, Iskandar Puteri ke Dataran Penggaram, Batu Pahat hari ini.

Dalam pada itu, Burtnik, 22, turut menjangkakan Jersi Hitam yang dimenanginya akan terus menjadi rebutan terutamanya pelumba dari Malaysia.

Bagi perlumbaan peringkat kedua TdIJ 2019 esok akan bermula dari Tanjung Emas, Muar dan berakhir di Jalan Besar, Yong Peng melibatkan jarak 163.6 kilometer.

Komen anda