Tekad beri aksi terbaik bersama Alfa Romeo

66

BEKAS juara dunia, Kimi Raikkonen mengakui tekanan memburu kejuaraan Formula 1 (F1) datang daripada dirinya sendiri dan bukan pasukannya, Alfa Romeo.

Pada awal musim ini, juara dunia edisi 2007 itu bertukar kerusi F1 dengan pemandu muda, Charles Leclerc yang kini menjadi sandaran pasukan elit, Ferrari.

Ketika ditanya adakah dia kini tidak lagi terbeban dengan tekanan selepas berhijrah daripada Ferrari, Raikkonen men­jawab: Tidak, itu bukan situasinya.

“Saya tidak rasa pasukan memberi anda sebarang tekanan. Sudah tentu mereka mengharapkan anda dapat melakukan sesuatu yang positif kepada pasukan.

“Saya tahu apa yang mereka mahukan daripada saya. Mereka menawarkan kontrak kepada saya kerana mereka mahu mendapatkan sesuatu daripada saya.

“Namun, saya rasakan saya sendiri perlu memberi lebih daripada apa yang mereka mahukan. Saya sedang berusaha ke arah itu dan diharapkan semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Raikkonen memberitahu, dia akan berusaha sebaik mungkin bagi memburu kejayaan sekalipun Alfa Romeo dilabel antara pasukan bukan pilihan dalam saingan F1 musim ini.

“Saya akan cuba sedaya yang saya mampu. Jika kami semua telah menampilkan prestasi sehabis baik, apa sahaja keputusannya, kami akan terima kerana itu sahaja yang mampu kami lakukan.

“Selepas dua perlumbaan awal, masih banyak lagi kerja yang harus kami lakukan. Saya sendiri juga banyak yang perlu dipelajari bersama pasukan ini,” jelas pemandu Finland berusia 39 tahun itu.

Pada GP Australia, Raikkonen menduduki tempat kelapan sebelum dia memperbaiki pencapaiannya dengan meraih tempat ketujuh GP Bahrain di Sakhir bulan lalu.

Komen anda