Tengku Amirul juara CP115

227
TENGKU Amirul Haffirudin mengesahkan gelaran juara keseluruhan CP115 setelah menjuarai perlumbaan akhir pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang, kelmarin.
Kemenangan itu juga kemenangan ketujuh dari lapan perlumbaan buat pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing itu dengan mengumpul 188 mata keseluruhan, 72 mata mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez yang mengumpul 116 mata berbaki dua pusingan.
Dalam aksi perlumbaan akhir, Tengku Amirul yang bermula di petak ketujuh menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13’58.786s mengatasi Md Fareez dengan kelebihan 0.326s manakala Md Haziq Nd Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) ketiga dengan masa 13’59.363s.
Tengku Amirul menyifatkan musim 2018 amat istimewa baginya kerana berjaya meraih gelaran juara CP115 selepas beberapa tahun mencuba dan berhasrat untuk bersaing dalam kelas CP150 jika diberikan peluang pada musim depan.
“Pada asalnya, saya cuma mahu mengutip mata sahaja kerana ketika itu saya hanya memerlukan lapan mata lagi untuk mengesahkan gelaran.
“Namun selepas insiden melibatkan pelumba kelompok hadapan, saya berjaya merapatkan kedudukan dengan pelumba di hadapan. Menyedari ada peluang untuk menamatkan saingan di atas podium, saya mencari ruang untuk memintas dan memenangi perlumbaan.” katanya.
Selain gelaran individu, pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang turut mengesahkan gelaran sebagai juara keseluruhan berpasukan kategori CP115 dengan mengumpul 304 mata keseluruhan.

Komen anda