Teong Kim kekal Pengarah Teknikal AMD

195

Tiada perubahan besar dilakukan dalam Akademi Mokhtar Dahari (AMD) terutamanya peranan utama Pengarah Teknikal, Lim Teong Kim yang bertanggungjawab menggilap lebih ramai pemain bola sepak berusia dari 13 hingga 17 tahun di peringkat akar umbi.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kontrak Teong Kim masih sama iaitu sehingga penghujung Oktober ini dan tumpuannya perlu bertepatan dengan hala tuju Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dengan perencanaan mahu menjadi lima negara terbaik Asia menjelang 2030.

“Setakat ini beliau masih lagi Pengarah Teknikal AMD. Seramai 215 pemain adalah di bawah seliaan Teong Kim.

“Belum sampai masanya untuk mengulas lanjut mengenai kontrak Teong Kim. KPI (Petunjuk Prestasi Utama) beliau adalah menghasilkan pemain-pemain muda yang bagus. AMD adalah pusat di mana pemain-pemain terbaik mengikut peringkat umur, kuota yang ditetapkan adalah 50 pemain setiap kategori.

“Tugas utama beliau adalah untuk meningkatkan keupayaan pemain ke tahap maksimum yang mereka boleh lakukan. Tiada spesifik KPI kepada Teong Kim. Mengenai gaji, itu ‘rahsia’ antara beliau dan MSN,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata, setakat perbincangan pihaknya bersama Teong Kim, bekas penolong pengendali skuad remaja Bayern Munich itu tidak menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan.

Sementara itu mengenai mesyuarat semalam, Ahmad Shapawi berkata, jawatankuasa teknikal telah selesai melaksanakan sesi temu duga untuk mengisi kekosongan jawatan jurulatih di AMD dan ketua jurulatih remaja negeri.

Katanya, 13 calon telah ditemu duga untuk jawatan jurulatih di AMD manakala 10 calon bagi jawatan ketua jurulatih remaja negeri dikendalikan panel berpengalaman.

Komen anda