Terbuka Indonesia: Aaron, Woo Yik gagal teruskan cabaran

68

 

PERMULAAN kurang baik buat beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila terkandas pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia yang membuka tirai kelmarin.

 

 

Gandingan Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan pilihan ketiga, yang juga ranking ketiga dunia, Li Jun Hui-Liu Yu Chen dari China selepas bertarung dalam perlawanan yang berlarutan ke set penentuan sebelum tewas 19-21, 21-15, 21-9.

 

 

“Untuk perlawanan hari ini, tidak banyak yang boleh diperkatakan. Masih ada banyak lagi kejohanan yang akan datang. Apapun, kami beraksi dalam keadaan baik hari ini,” kata Aaron ketika dihubungi.

 

 

Ini adalah kejohanan pertama disertai naib juara Seluruh England 2019 serta skuad badminton negara selepas berehat panjang daripada sebarang kejohanan kompetitif.

 

 

Beregu negara akan meneruskan pemburuan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020, pada Terbuka Jepun di Tokyo (23 hingga 28 Julai) dan Terbuka Thailand di Bangkok pada 30 Julai hingga 4 Ogos depan.

 

 

Sementara itu, pasangan beregu wanita Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mara ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing-masing pada pusingan pertama.

 

 

Gandingan Vivian-Cheng Wen dipaksa bekerja keras sebelum berjaya mengenepikan Ashwini Ponnappa-Reddy N. Sikki 22-20, 20-22, 22-20 untuk mara ke pusingan kedua berdepan pasangan Korea Selatan Lee So Hee-Shin Seung Chan.

 

 

Sementara Mei Kuan-Meng Yean, yang kini menduduki ranking ke-14, tidak mempunyai masalah untuk mengalahkan Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto 21-16, 21-16 dari Indonesia.

 

 

Bagaimanapun, pasangan negara itu bakal melalui halangan berliku apabila berdepan pasangan di ranking ketiga dari Jepun Misaki Matsutomo-Ayaka Takashi pada pusingan kedua.

 

 

Turut mara, pasangan beregu campuran Tan Kean Meng-Lai Pei Jing, yang melepasi halangan pertama menewaskan pasangan China Lu Kai-Chen Lu 23-21, 21-13, untuk menempah pertemuan dengan pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet pada pusingan kedua.

 

Komen anda