Terbuka Indonesia: Peng Soon, Liu Ying mara separuh akhir

88

BEREGU campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menambah mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo apabila mengalahkan gandingan Tontowi Ahmad-Winny Oktavina dalam perlawanan sengit suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta, hari ini.

 

 

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan 21-11, 14-21, 21-14 dalam tempoh 60 minit ke atas lawan dari Indonesia itu.

 

 

Kemenangan itu juga menyaksikan Peng Soon-Liu Ying membalas dendam atas kekalahan mereka di tangan pasangan tuan rumah itu pada pusingan kedua Seluruh England, Mac lalu.

 

 

Sebagai rekod, Tontowi yang berganding dengan Liliyana Natsir menewaskan Peng Soon-Liu Ying 21-14, 21-12 untuk emas Sukan Olimpik Rio 2016.

 

 

Bagaimanapun, Liliyana, mengumumkan persaraannya pada Januari lalu dan Tontowi digandingkan dengan Winny selepas itu.

 

 

Peng Soon-Liu Ying, selaku pilihan kelima kejohanan, akan berdepan dengan pilihan kedua kejohanan, Wang Yi Lyu-Huang Dongping pada separuh akhir esok.

 

 

Pasangan China itu menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir dengan menyingkirkan satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, 21-4, 21-15 pada aksi suku akhir.

Komen anda