Terbuka Indonesia: Peng Soon, Liu Ying mara suku akhir

143
Foto: Stadium Astro

DUA beregu campuran negara melangkah ke saingan suku akhir Badminton Terbuka Indonesia 2019.

Naib juara edisi 2018, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menyasarkan muncul juara untuk edisi kali ini menewaskan pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung, 21-19, 21-15 pada pusingan kedua.

Dalam aksi 44 minit untuk menang straight set, pasangan Peng Soon-Liu Ying yang juga pilihan kelima di kejohanan itu, tampak lebih yakin berbanding aksi pusingan awal semalam.

“Permainan kami lebih menyakinkan hari ini berbanding pusingan awal semalam yang terpaksa bermain tiga set,” kata Peng Soon.

Pasangan beregu itu bakal bertemu antara pemenang pasangan beregu Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow dan beregu Thailand, D Phuangphuapet-Savitree Amitrapai.

Dalam satu lagi aksi pusingan kedua di Stadium Istora Senayan, pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menewaskan beregu Hong Kong, Tang Chu Man-Tse Ying Suet, 21-15, 21-14.

Mereka akan bertemu pasangan beregu England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock di suku akhir.

Komen anda