Terbuka Jepun: Aaron, Wooi Yik mara ke suku akhir

135
Gambar File

BEREGU utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit semula dengan semangat juang lebih tinggi selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Indonesia minggu lalu apabila mengesahkan tempat ke suku akhir Terbuka Jepun di Tokyo, hari ini.

Pada pusingan kedua, naib juara Seluruh England itu terpaksa bekerja keras sebelum mengejutkan pilihan ketujuh dari China, Han Cheng Kai-Zhou Hao Dong, 22-20, 23-25, 21-15 pada pertarungan selama 65 minit itu.

Bagaimanapun, beregu negara itu akan berdepan dengan tugas getir pada suku akhir apabila bertemu dengan pilihan pertama yang juga juara Terbuka Indonesia minggu lalu, Marcus Fenaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, esok.

Beregu Indonesia itu tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke suku akhir selepas dengan mudah menundukkan beregu bukan pilihan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-8, 21-19 pada saingan puisngan kedua.

Turut mara ke suku akhir beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis 21-18, 21-11 dan akan menentang pilihan ketiga dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino pada pusingan seterusnya.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, gagal ke suku akhir selepas tewas straight set 21-16, 21-17 kepada pilihan kelima dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.

Pemain perseorangan wanita negara, Soniaa Cheah turut mengalami nasib yang sama apabila tewas kepada pemain pilihan kedua dari China, Chen Yu Fei, 21-7, 21-16 manakala beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean kalah kepada juara dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun, 21-18, 21-19.

Komen anda