Terbuka Jepun: Peng Soon, Liu Ying fokus perkemas corak permainan

159

PASANGAN beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mahu memperkemaskan mutu permainan agar dapat terus memberi impak besar di kejohanan badminton Terbuka Jepun.

Gandingan negara yang kini menduduki ranking kelima dunia itu menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mengulangi kejayaan tahun lepas, dengan mara ke separuh akhir kejohanan berkenaan.

Peng Soon-Liu Ying yang mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan pasangan China He Ji Ting-Du Yue 23-21, 21-17 di pusingan pertama pada Selasa, dilihat tidak berdepan masalah apabila bertemu pasangan Peranchis Thom Gicquel-Delphine Delrue di pusingan kedua, hari ini.

Jika berjaya melepasi halangan, gandingan profesional negara yang diletakkan sebagai pilihan kelima, akan bertembung dengan pasangan tuan rumah Yuta Watanabe-Arisa Higashino di suku akhir.

“Kita ada peluang untuk ke suku akhir. Kita hendak cuba untuk mengekalkan keputusan tahun lepas iaitu peringkat separuh akhir, tapi kejohanan ini bukan senang.

“Kalau kita lihat, Watanabe dan pasangannya dalam keadaan baik. Kita ada peluang untuk ulangi kejayaan tahun lepas tapi buat masa ini kami mahu pastikan prestasi kita kukuh,” katanya.

Sementara itu, dalam perlawanan pusingan pertama bersambung semalam, pemain perseorangan wanita negara Soniia Cheah terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mengetepikan juara Sukan Olimpik London 2012 Li Xue Rui dari China 21-18, 19-21, 21-17.

Pemain berusia 26 tahun itu akan berdepan pilihan kedua Chen Yu Fei pada pusingan kedua. Terdahulu, pemain China itu menewaskan Fitriani Fitriani dari Indonesia 21-5, 21-19.

Empat lagi wakil negara yang beraksi hari ini terpaksa akur apabila tewas di tangan lawan masing-masing di pusingan pertama termasuk perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia.

Zii Jia yang mencuri tumpuan ketika menumbangkan juara Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China pada pusingan kedua Terbuka Indonesia, minggu lepas, tewas kepada Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong 19-21, 21-19, 17-21.

Turut terkandas beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan dua beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Mohamad Arif Ab Latif-Nur Azryn Ayub.

Komen anda