Terbuka Malaysia: Kekalahan rakan barakan semangat Kian Meng-Pei Jing

537

KEKALAHAN rakan senegara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menjadi pembakar semangat kepada pasangan beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk memastikan slot separuh akhir menjadi milik mereka di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019.

Pada perlawanan suku akhir penuh dramatik di Arena Axiata Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil hari ini, Kian Meng-Pei Jing berjaya mengetepikan pasangan Indonesia Tontowi Ahmad-Winny Oktavia Kandow 17-21, 21-16, 21-16.

Pasangan negara yang menduduki ranking ke-38 dunia itu, mengakui masih belum menemui rentak permainan sebenar sehingga menyebabkan mereka melakukan kesilapan sekali gus memberi mata mudah kepada lawan, dan tewas 17-21 pada set pertama.

“Tidak percaya boleh menang sebab semasa set pertama agak sukar. Kami berdua tidak boleh masuk dalam permainan (hilang rentak).

“Pada set kedua, saya cuba tukar corak permainan, tukar servis…buat pukulan ke belakang dan kita cuba kucar-kacirkan rentak permainan lawan. Bila kita mula dapat mata, keyakinan pun datang semula dan kami sudah ada dalam permainan sebenar,” kata Pei Jing.

Dalam pada itu, Pei Jing mengakui sedikit tertekan selepas kekalahan Peng Soon-Liu Ying, kerana harapan peminat badminton negara untuk melihat wakil Malaysia terus beraksi di Terbuka Malaysia terletak di bahu mereka.

“Menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang ada (meneruskan cabaran) di Terbuka Malaysia, bangga pun ada. Masa dapat tahu Peng Soon-Liu Ying kalah, kita sedikit kecewa dan rasa tertekan sebab penyokong Malaysia harap ada pemain Malaysia di separuh akhir,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan pilihan kedua dari China Wang Yilyu-Huang Dongping pada aksi separuh akhir esok, Pei Jing berharap beliau dan Kian Meng dapat menampilkan aksi terbaik di hadapan penyokong tempatan yang hadir memberi sokongan di Arena Axiata.

“Harap tuah bersama kita,” katanya.

Sementara itu, Kian Meng berkata ketika turun di gelanggang tadi, beliau langsung tidak memikirkan mengenai untuk menjadi wakil tunggal Malaysia mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia.

“Saya hanya harap boleh buat yang terbaik sebab tidak mahu mengecewakan diri sendiri,” katanya.

Terdahulu, Wang Yilyu-Huang Dongping mengetepikan pasangan Peng Soon-Liu Ying 21-19, 16-21, 27-25.

Andai pasangan negara berjaya melepasi halangan di separuh akhir, mereka dijangka berdepan sama ada pilihan utama dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong atau pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Komen anda