Terbuka Malaysia: Kian Meng, Pei Jing mara separuh akhir

335

SOKONGAN padu diharapkan oleh beregu campuran, Tan Kian Meng- Lai Pei Jing yang muncul satu-satunya wakil negara yang terus membawa cabaran dalam peringkat separuh akhir Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2019 esok selepas mereka menang di Axiata Arena, Bukit Jalil tadi.

Kian Meng-Pei Jing layak selepas berjaya bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk menumpaskan lawan dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow 17-21 21-16 21-16 dalam masa 54 minit.

Di separuh akhir, Kian Meng-Pei Jing dijadualkan menentang lawan dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping yang merupakan pilihan kedua kejohanan.

Bercakap mengenai perlawanan tadi, Lai Pei Jing berkata, “Saya tidak terfikir boleh menang kerana pada awalnya nampak begitu sengit. Boleh nampak lawan mengawal keseluruhan gelanggang sehinggakan kami hilang rentak.”

“Di set kedua, saya mula mengubah fikiran dan mula menukar corak seperti servis dan sebagainya. Selepas itu, lawan nampak semakin hilang rentak dan memberikan peluang untuk kami mengutip mata demi mata sehingga akhirnya kemenangan memihak kami,”kata Pei Jing.

Sementara itu, pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula terkandas di suku akhir apabila tewas kepada pasangan China, Wang Yilyu-Huang Dongping.

Biarpun memberikan saingan yang cukup sengit namun Peng Soon-Liu Ying akur tewas 19-21 21-16 25-27 kepada lawan mereka dalam pertarungan set penentuan.

Peng Soon yang ditemui selepas perlawanan berkata, “Agak sayang tewas namun kami masih berpuas hati dengan persembahan yang kami tunjukkan tadi. Kami harap pada kejohanan selepas ini, kami akan dapat kekalkan persembahan untuk meraih kejayaan,”katanya.

Bagi pasangan Peng Soon, Liu Ying pula berpendapat, “Saya rasa dalam perlawanan ini, kami kalah kerana kebanyakan daripada mata yang diraih lawan adalah kerana kesilapan pukulan kami sendiri. Saya berpuas hati kerana taktikal, skill dan segalanya menjadi berbanding kejohanan sebelum ini,”ujar Liu Ying kepada media.

Komen anda