Terbuka Malaysia: Lin Dan, Cheng Long tentukan juara

1161
Aksi Lin Dan sewaktu menentang pemain senegara Shi Yuqi pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini.

BUKAN mudah bagi dua pemain senior China, Lin Dan dan Cheng Long untuk menundukkan pemain muda yang menjadi lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019.

Kedua-dua pemain utama itu terpaksa bergelut selama lebih satu jam sebelum melangkah ke pentas final kejohanan itu yang berlangsung di gelanggang Axiata Arena Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil di sini hari ini.

Pilihan keempat Chen Long diheret sehingga ke rubber set sebelum menewaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie 12-21, 21-10, 21-15 sementara Lin Dan yang mendapatkan sokongan moral daripada penonton terpaksa bekerja keras sebelum menang 21-19, 16-21, 21-12 ke atas pemain nombor dua dunia, Shi Yuqi yang juga rakan senegaranya.

Chen Long dan Lin Dan, masing-masing mengintai untuk meraih gelaran terbuka Malaysia bagi kali kedua pada aksi final esok.

“Saya telah beberapa kali bertemu dengan Jonathan, perlawanan berlangsung sengit. Dia pemain yang cukup berpotensi dan tidak pernah menyerah. Perlawanan hari ini adalah sukar jika dibandingkan perlawanan semalam, saya bertarung hampir satu jam. Ia amat meletihkan.

“Saya tidak banyak memikirkan mengenai siapa yang saya akan bertemu esok. Saya hanya mahu menumpukan kepada perlawanan saya, ” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini hari ini.

Chen Long yang merangkul gelaran itu pada 2015 berkata beliau merasakan bahawa perlawanan akhir esok berbeza kerana ketiadaan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

“Suasana akan berbeza, semua orang berharap dapat melihat Chong Wei beraksi pada perlawanan akhir. saya berharap semoga dia segera sembuh, ” tambah Chen Long.

Sementara itu, juara Olimpik dua kali, Lin Dan juga bersetuju bahawa ketiadaan Chong Wei memberi impak kepada Terbuka Malaysia kerana semua peminat mahu melihat penampilannya terutama dalam perlawanan akhir.

“Jika Chong Wei bersaing dalam kejohanan ini, ia akan lengkap, kerana semua orang berada di sini, Chong Wei adalah wira Malaysia. Saya berharap dapat melihatnya kembali beraksi secepat mungkin, tetapi beliau perlu berada dalam kecergasan sepenuhnya, ” katanya.

Lin Dan juga mengakui bahawa peluangnya untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah sukar kerana penampilan pemain-pemain muda yang mempamerkan pretasi yang cukup baik.

“Dalam perlawanan perseorangan lelaki, tekanan lebih hebat kerana saya perlu bersaing dengan pemain muda yang bukan sahaja dari China tetapi juga pemain muda dari negara lain. Saya mengakui bahawa generasi pemain baharu kini muncul dan menampilkan corak permainan yang sangat baik. Setiap kejohanan itu penting dan saya akan melakukan yang terbaik.

“Saya masih mempunyai masa satu tahun untuk layak ke Sukan Olimpik, jadi apa-apa boleh berlaku dalam tempoh ini. Tetapi yang paling penting ialah konsisten, ” kata Lin Dan.

Komen anda