Terbuka Malaysia: Pengalaman menentang jagoan dunia sandaran Zii Jia

970

KETIADAAN jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyaksikan fokus peminat dalam acara perseorangan lelaki kini terarah semula kepada pemain muda meningkat naik, Lee Zii Jia yang akan membawa cabaran dalam Celcom Axiata Terbuka Malaysia nanti.

Mengakui turut merasa tempias ketiadaan Chong Wei yang pada awalnya turut dijadualkan beraksi, Zii Jia bagaimanapun tidak mahu keadaan tersebut mengganggu aksinya di atas gelanggang.

“Memang akan ada tekanan kerana semua peminat pastinya mengharapkan saya untuk menyerlah. Apapun, saya tidak mahu fikir terlalu banyak sebaliknya akan fokus untuk menghadapi setiap perlawanan,” katanya Zii Jia ketika dihubungi.

Ditanya adakah Zii Jia sudah bersedia untuk mengejar pencapaian yang berjaya diraih Chong Wei dalam Terbuka Malaysia, Zii Jia berkata, “Mengenai pencapaian 12 kali kejuaraan yang berjaya diraih Lee Chong Wei dalam Terbuka Malaysia, ia adalah luar biasa serta sukar untuk ditandingi. Saya akan cuba selangkah demi selangkah dan percaya kejayaan akan hadir selepas itu.”

“Dengan pengalaman menentang beberapa pemain ranking atasan dunia seperti Viktor Axelsen dan pernah menewaskan Chou Tien Chen sebelum ini, ia adalah satu pengalaman yang berguna. Saya harap dapat mengekalkan rentak di atas gelanggang apabila beraksi nanti,” ujar Zii Jia.

Pemain tinggi lampai berusia 20 tahun itu dijadualkan akan bertemu pemain dari Thailand, Suppanyu Avihingsanon pada pusingan pertama Terbuka Malaysia. Andai melepasi pusingan pertama, tugas lebih mencabar menanti Zii Jia apabila dia bakal berhadapan sama ada pemain berpengalaman China, Lin Dan atau pemain Chinese Taipei, Chou Tien Chen di pusingan kedua.

Zii Jia juga mengharapkan sokongan padu peminat untuk membakar semangatnya juangnya dan rakan-rakan lain dalam Terbuka Malaysia nanti.

Selain Zii Jia, satu lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki adalah pemain profesional, Liew Daren yang juga akan bertemu pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen dalam pusingan awal.

Komen anda