Terbuka Perancis: Federer kembali demi peminat

90
Federer berlatih buat pertama kali di gelanggang Philippe-Chatrier selepas empat tahun meninggalkan kejohanan Terbuka Perancis.

PEMAIN tenis Switzerland, Roger Federer akhirnya buka mulut mengenai sebab beliau kembali beraksi di gelanggang tanah liat musim ini.

Sebelum ini, pemain berusia 37 tahun itu sering mengelak kejohanan di gelanggang tanah liat sejak musim 2016, 2017 dan 2018.

Namun, musim ini, Federer kembali menyertai kejohanan di gelanggang itu bermula daripada saingan Terbuka Madrid, Terbuka Itali dan terbaharu menyertai Terbuka Perancis.

"Kenapa saya kembali ke Rolland Garros (Terbuka Perancis)? Saya rasa faktor utama ialah saya mahu bertemu peminat, mereka yang sudah lama saya tinggalkan.

"Saya hanya berharap untuk melepasi beberapa pusingan di kejohanan ini agar dapat menghilangkan rasa rindu peminat selama ini. Saya janji akan memberikan aksi terbaik saya di sini," katanya.

Federer pernah menjuarai Terbuka Perancis pada 2009 selepas menewaskan Robin Soderling di final. Kemenangan itu merupakan satu-satunya gelaran diraih Federer di gelanggang tanah liat.

Oleh kerana rekodnya tidak begitu baik, bekas pemain nombor satu dunia ini telah menghilangkan diri dalam kejohanan ini, yang mana kepulangannya ke Rolland Garros musim ini hanya berlaku selepas empat tahun.

Ditanya sama ada kejohanan ini merupakan kejohanan terakhir disertainya di Perancis, Federer tampil menepis persoalan itu.

"Bagi saya, setiap kejohanan boleh jadi yang terakhir. Kejohanan ini juga tidak terkecuali. Tetapi saya tidak melihat kedatangan saya ke sini untuk kali yang terakhir. Saya mahu terus beraksi seperti 10 tahun lalu. Itu tidak berubah," katanya.

Komen anda