Terbuka Singapura: Kian Meng, Pei Jing gagal akhiri kemarau kejuaraan

1090
Foto: FB Singapore Open (Badminton)

TAN Kian Meng-Lai Pei Jing gagal menamatkan kemarau kejuaraan selama 27 bulan apabila tumpas mudah dalam aksi final acara beregu campuran pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2019, hari ini.

Perlawanan akhir pertama pasangan beregu campuran negara itu sejak memenangi Masters Malaysia pada Januari 2017, menyaksikan mereka mempamerkan aksi gugup termasuk beberapa kali melakukan jangkaan silap ketika gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, melakukan servis sebelum tewas 14-21, 6-21.

“Kita tidak terlalu memikirkan (mengenai kemarau kejuaraan). Kami sudah berpuas hati mara hingga ke final di sini,” kata Kian Meng ketika ditemui selepas pertemuan itu yang berlangsung selama 33 minit.

Selepas Terbuka Singapura kali ini, pasangan beregu campuran Malaysia itu dijangka menyertai Kejohanan Badminton Asia 2019 yang akan berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan di China, dari 23 hingga 28 April ini.

Berikutan pencapaian membanggakan sejak kebelakangan ini, gandingan negara itu kini menduduki ranking ke-26 daripada ke-38 dunia, dua minggu lepas.

“Lawan kami beraksi begitu baik…pada masa sama kita tidak menampilkan prestasi terbaik hari ini,” kata Pei Jing ketika mengulas mengenai perlawanan hari ini yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.

Beregu Malaysia itu yang diletakkan sebagai pasangan bukan pilihan pada kejohanan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$355,000 itu, mempunyai rekod pertemuan kurang membanggakan berdepan pasangan Thailand itu yang merupakan beregu keempat dunia, apabila hanya menang dua daripada lima pertemuan.

Kedua-dua pasangan beregu itu pernah bertemu pada Terbuka Jepun 2018, Kejohanan Dunia BWF 2018, Terbuka Singapura 2017 dan Terbuka Thailand 2016.

Untuk rekod, pada Terbuka Singapura 2019, Kian Meng-Pei Jing mengejutkan pilihan kedua, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun di pusingan pertama, dan menewaskan satu lagi pasangan dari negara negara matahari terbit itu, Kohei Gondo-Ayane Kurihara pada pusingan kedua.

Pasangan Malaysia itu kemudian menumpaskan Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet dari Indonesia di suku akhir, dan pilihan ketujuh Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja, juga dari Indonesia, pada separuh akhir.

Komen anda