Terbuka Singapura: Kian Meng, Pei Jing mara final

1294

PASANGAN beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara ke perlawanan akhir Badminton Terbuka Singapura, peluang untuk menamatkan kemarau 27 tahun dalam memburu kejuaraan itu, hari ini.

Kali terakhir Kian Meng-Pei Jing memenangi perlawanan akhir ialah semasa Malaysian Master pada Januari 2017.

Pemain bukan pilihan itu mengalahkan Hafiz Faizal dan Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia 21-16 20-22 22-20 dalam perlawanan separuh akhir 71 minit yang mendebarkan.

Kemenangan itu boleh disifatkan sebagai ‘dendam berbalas’ oleh gandingan itu selepas pilihan ketujuh dari Indonesia itu menumpaskan pasangan nombor satu Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dalam pertemuan suku akhir dan satu lagi beregu negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dalam pusingan pertama.

Kian Meng-Pei Jing akan berdepan pilihan ketiga, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand pada Ahad, yang menundukkan pilihan pertama Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China dalam perlawanan separuh akhir hari ini.

“Selepas Terbuka Malaysia, kami berjaya membina sedikit keyakinan,” kata Pei Jing ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Pasangan itu beraksi sehingga ke peringkat separuh akhir dalam Terbuka Malaysia baru-baru ini.

“Kami tidak mahu fikir sangat. Kami juga bersedia untuk menghadapi perlawanan yang sengit, bagaimanapun kami gembira kerana kami boleh menang lagi. Ini benar-benar seperti membina keyakinan kepada kami,” katanya.

Mengimbas kembali perjalanan mereka dalam kejohanan Terbuka Singapura, Kian Meng-Pei Jing mengalahkan pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dalam pusingan pertama; satu lagi pasangan Jepun Kohei Gondo-Ayane Kurihara dalam pusingan kedua; dan gandingan dari Indonesia Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet.

Kian Meng-Pei Jing pernah berada pada kedudukan 10 terbaik dunia pada 2016 namun prestasi mereka merudum sejak 2017 sehingga bulan lepas.

Dalam empat kejohanan yang mereka sertai awal tahun ini, bermula dengan Malaysian Masters, Indonesian Masters, Terbuka Jerman dan All England, Kian Meng-Pei Jing sering tersingkir seawal pusingan pertama.

“Kami berusaha keras sejak 2018. Kami gembira kerana kami dapat bangkit semula,” kata Pei Jing.

Pasangan itu menjangkakan perlawanan sengit pada Ahad ini apabila berdepan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, wakil tunggal Thailand, dalam kejohanan itu yang menawarkan hadiah berjumlah US$355,000.

“Kami perlu bermain dengan sebaik-baiknya. Kami juga perlu membuat persediaan rapi,” kata Pei Jing.

Pasangan beregu campuran Malaysia Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mengalahkan gandingan nombor satu dunia, Liliyana Natsir-Tontowi Ahmad dari Indonesia, dalam perlawanan akhir Badminton Terbuka Singapura tahun lalu.

Komen anda