Terbuka Singapura: Lin Dan beri laluan kepada Axelsen

229

JAGUH sensasi China, Lin Dan terpaksa memberi laluan kepada Viktor Axelsen dari Denmark ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Singapura 2019 yang berlangsung di Stadium Tertutup di sini hari ini.

Difahamkan, Lin Dan yang baru merangkul kejuaraan keduanya pada Terbuka Malaysia minggu lepas, terpaksa menarik diri daripada kejohanan menawarkan hadiah AS$355,000 itu berikutan mengalami kekejangan di paha kirinya.

Ketika itu, Axelsen yang merupakan pemain pilihan ketiga kejohanan sedang mendahului 20-13, sebelum Lin Dan menarik diri pada set pertama aksi pusingan pembukaan tersebut yang berlangsung selama 14 minit.

“Saya menggunakan banyak stamina semasa Terbuka Malaysia minggu lepas. Saya perlu berhati-hati memandangkan Piala Sudirman dan aksi kelayakan Sukan Olimpik tidak lama lagi, dan saya tidak mahu mengambil risiko mengalami kecederaan serius,” kata Lin Dan kepada pemberita.

Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Lee Hyun Il dari Korea Selatan; 21-19, 21-16, namun Liew Daren terpaksa akur kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto dalam aksi tiga set; 19-21, 21-18, 22-20.

Acara beregu campuran pula menyaksikan pasangan Malaysia Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terpaksa berhempas pulas sebelum menumpaskan gandingan pilihan kedua, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun; 16-21, 21-18, 21-15.

Bagaimanapun, pilihan ketujuh Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia hanya mengambil masa 33 minit untuk mengetepikan cabaran pasangan Malaysia Chen Tang Jie-Peck Yen Wei; 21-18, 21-14.

Satu lagi pasangan Malaysia Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie, dalam pada itu menamatkan cabaran beregu Indonesia, Alfian Eko Prasetya-Marsheilla Gischa Islami selepas mencatat kemenangan 21-18, 21-16.

Sementara, pilihan keempat kategori berkenaan, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menumpaskan pasangan tuan rumah Hee Yong Kai Terry-Wong Jia Ying Crystal; 21-18, 22-20.

Pasangan beregu lelaki Malaysia Chooi Kah Ming-Low Juan Shen pula mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan gandingan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin; 8-21, 21-16, 21-18. – Bernama

Komen anda