Terbuka Thailand: Cabaran Peng Soon, Liu Ying berakhir

96

RENTAK cemerlang beregu profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terhenti selepas tewas pada pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Thailand di Bangkok, hari ini.

 

 

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu tewas kepada pasangan Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa (India), 18-21, 21-18, 17-21.

 

 

Pasangan yang menduduki ranking kelima dunia itu tewas pada set pertama 18-21 sebelum bangkit menewaskan pasangan yang berada pada rangking lebih rendah itu pada set kedua, dengan 21-18.

 

 

Pada set ketiga, Peng Soon-Liu Ying gagal menandingi rentak permainan lawan dan tewas 17-21.

 

 

Sementara itu seorang lagi pemain profesional negara, Liew Daren kalah pada pusingan pertama kepada pemain Hong Kong Angus Ng Ka Long, 13-21, 16-21.

 

 

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah memulakan cabaran pada Terbuka Thailand dengan kemenangan ke atas pemain Thailand, Supanida Katethong 11-21, 21-14, 21-19.

 

 

Pemain berusia 26 tahun itu dijangka berhadapan cabaran sengit daripada pemain China, He Bing Jiao, yang kini berada pada ranking keenam dunia, esok dalam pusingan kedua.

 

 

Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia berjaya melepasi pusingan pertama selepas menewaskan pemain India, Sameer Verma, 21-23, 21-11, 21-5.

 

 

Zii Jia dijadual bertemu Tommy Sugiarto dari Indonesia, yang menewaskan pemain China, Zhao Jun Peng, 21-13, 12-21, 21-13.

Komen anda