Terbuka Thailand: Soniia, Zii Jia lolos ke suku akhir

81
Foto: FB Badminton Association of Malaysia - BAM

PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah melakarkan kejutan untuk mara ke suku akhir Terbuka Thailand selepas menewaskan pilihan kelima dari China, He Bing Jiao pada pusingan kedua di Bangkok, hari ini.

Soniia, yang kini menghuni ranking ke-32 dunia, mengambil masa 32 minit untuk menyingkirkan pemain nombor enam dunia itu dalam straight set 21-15, 21-12.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu akan berdepan tugas getir ke separuh akhir apabila bertembung dengan pemain pilihan utama dari China, Chen Yu Fei, esok.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia turut mengesahkan tempat ke suku akhir apabila mengalahkan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 21-14, 12-21, 21-8.

Beliau akan berdepan dengan wakil Indonesia dari pusingan kelayakan, Shesar Hiren Rhustavito yang melakarkan kejutan besar dengan mengetepikan juara dunia lima kali, Lin Dan dari China, 12-21, 21-15, 21-10 pada pusingan kedua.

Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut melangkah ke suku akhir selepas bertarung selama 63 minit sebelum menewaskan beregu nombor enam dunia dari China, Han Cheng Kai-Zhou Hao Dong 19-21, 21-16, 21-18.

Gandingan tersebut akan sekali lagi akan berdepan dengan wakil China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen yang menyingkirkan beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 21-17, 11-21, 21-11 pada pusingan kedua.

Dalam pada itu, dua lagi beregu lelaki negara terkeluar di pusingan kedua apabila Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas 21-8, 21-17 kepada beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol.

Satu lagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengalami nasib sama apabila disingkirkan oleh gandingan baharu China, Huang Kai Xiang-Liu Cheng 22-20, 21-17.

Komen anda