Terengganu FC sasar juara Piala Malaysia

250

NAIB juara Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC) meletakkan sasaran meraih gelaran kejuaraan itu musim ini selain mara ke pentas final saingan Piala FA dan kelompok tiga terbaik Liga Super yang bakal membuka tirainya Jumaat ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan keyakinan sasaran itu mampu direalisasikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang diperkuatkan dengan tonggak import Lee Tuck dan Kipre Tchetche serta kehadiran Sanjar Shaakhmedov di samping mempertaruhkan pemain tempatan yang berkualiti.

“Malah kita juga meletakkan sasaran untuk berada di carta lima terbaik dalam Liga Perdana serta mengekalkan kejuaraan Piala Cabaran kepada TFC II selain dua lagi skuad muda negeri yang bersaing dalam kancah Piala Presiden dan Piala Belia.

“Jadi trofi Piala Presiden perlu dikekalkan pasukan TFC III manakala TFC IV pula diharapkan dapat menyamai atau membaiki pencapaian musim lalu selaku naib juara Piala Belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Pasukan TFC di Stadium Tertutup Gong Badak, kelmarin.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM25 juta bagi membiayai lima pasukan bola sepak negeri yang akan menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Peruntukan ini bagi menguruskan lima pasukan di bawah PBSNT iaitu TFC (Liga Super), TFC II (Liga Perdana), TFC III (Piala Presiden), TFC IV (Piala Belia) dan TFC V (Piala KPM).

“Jumlah perbelanjaan lebih kurang sama sahaja dengan negeri lain dan kita akan pastikan ia mendapat pulangan yang baik dari segi pencapaian pasukan,” katanya.

Komen anda