Terengganu mahu bina trek olahraga baharu

60

KERAJAAN Terengganu merancang membina trek olahraga baharu bagi menggantikan trek lama yang sudah usang di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sudah tiba masanya trek berusia 12 tahun itu diganti dengan kemudahan lebih baik bagi memastikan atlet dapat menjalani latihan dengan selesa.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat mingguan ahli majlis mesyuarat Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan kelulusan.

“Insya-ALLAH kita akan pastikan perkara ini (trek olahraga baharu) mendapat keutamaan Kerajaan Negeri dan kita akan berusaha supaya ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Untuk pembinaan trek baharu di tapak sama ini, kita anggarkan kos kira-kira RM3 juta dan sementara menunggu siap, atlet boleh menggunakan padang Universiti Malaysia Terengganu buat sementara,” katanya kepada pemberita selepas melawat ke trek olahraga dan padang bola sepak Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, semalam.

Dalam perkembangan lain, Wan Sukairi berkata, kerja-kerja membaik pulih padang bola sepak Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, telah pun siap 80 peratus dan dijangka dapat digunakan pada September depan.

Beliau, bagaimanapun, berkata, pihaknya memutuskan untuk menangguhkan penggunaan padang sehingga awal tahun hadapan, bagi memastikan akar rumput benar-benar kuat.

“Kontraktor yang dilantik Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sedang menyelesaikan kerja-kerja menanam rumput yang dijangka siap bulan ini, dan dalam tempoh dua bulan lagi, padang dijangka sudah boleh digunakan.

“Saya nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada MFL kerana memberi tajaan RM1 juta bagi membiayai projek ini sekali gus dapat menaikkan mutu bola sepak negeri,” katanya

Komen anda