‘Terlalu awal UniKL rai kejayaan’

235

Pengendali Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj belum boleh meraikan kejayaan meskipun mendahului Liga Hoki Malaysia (MHL) dengan 25 mata susulan kebangkitan menakjubkan ketika mengatasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-2 di Stadium Tun Razak, kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan mereka melebarkan jarak kepada empat mata di depan pencabar terdekat, TNB manakala Terengganu Hoki Team (THT) kekal di kedudukan ketiga dengan kutipan 16 mata diikuti Maybank (15), TNB Thunderbolts (4), Nur Insafi (4) dan Universiti Teknologi Mara (3).

“Ia adalah persembahan hebat daripada pemain-pemain untuk me­menangi perlawanan semalam (kelmarin) tetapi tiada apapun yang berubah kerana kami masih mempunyai tiga lagi aksi.

“Saya percaya peluang semakin hampir untuk kami me­menangi gelaran. Me­nentang TNB kami beraksi dengan lebih baik pada babak kedua dengan pemain meningkatkan rentak permainan untuk mendapatkan gol.

“Kami mempunyai pemain yang tahu bagaimana untuk memenangi perlawanan dan saya fikir ia amat membantu. Razie (Abd Rahim) menemui semula sentuhan jaringan menerusi pukulan sudut penalti dan pujian wajar diberikan kepadanya.

“Sebenarnya saya mem­persiapkan pasukan hanya untuk memenangi perlawanan dan saya tidak mahu pemain-pemain melupakan tanggungjawab mereka dan keluar beraksi dengan sebaik mungkin,” katanya.

Walaupun masih ada peminat hoki yang menaruh harapan untuk TNB, THT dan Maybank bangkit menafikan impian UniKL memenangi gelaran sulung liga, namun Arul hanya ingin kekal mengikut perancangan aksi bagi mengelak situasi tersebut.

UniKL mempunyai tempoh rehat selama enam hari dan akan kembali beraksi menentang Nur Insafi di Stadium Hoki KLHA pada Ahad ini sebelum berdepan Maybank (20 Februari) dan TNB Thunderbolts (22 Februari) di Stadium Tengku Abdullah.

“Seperti saya cakap sebelum ini, kami perlu meneruskan momentum ini dan keputusan positif akan terhasil dengan sendirinya,” jelasnya.

Sementara itu, pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasruddin berkata, kekalahan kepada UniKL meranapkan impian mereka untuk menjuarai saingan liga musim ini, apatah lagi pencabarnya itu memiliki barisan pemain berkualiti.

Komen anda