Teruja dapat berguru dengan otai Cub Prix

250
FOTO: Facebook.com/MalaysianCubPrix

MUSIM sukan permotoran negara pada tahun ini, bagi siri perlumbaan motosikal diakhiri dengan kejayaan penganjuran Klinik Cub Prix KBS Finale di Tangkak Racing Track, di Tangkak, semalam.

Unit Media Cub Prix Malaysia menyatakan, penganjuran Klinik Cub Prix-Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini bertujuan mencari bakat baharu dan bakat terpendam dalam sukan permotoran negara

Katanya, bagi tahun ini seramai 48 pelumba muda terlibat dalam Klinik Cub Prix KBS Finale, yang mana pencarian bermula pada Mac dan berakhir Disember dengan membabitkan 22 bandar di seluruh negara dan pemilihan terakhir dilakukan di Tangkak Racing Track.

“Para peserta mendapat teknik dan ilmu perlumbaan motosikal daripada dua ‘mentor’ yang juga jaguh dalam siri perlumbaan motosikal iaitu Shahrol Yuzy Ahmad Zaini dan Azlan Shah Kamaruzaman.

“Selain itu beberapa pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin dan Mohd Akid Aziz, serta Azroy Hakeem Anuar dan juara Asia Underbone, Mohd Helmi Azman, turut berkongsi pengalaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

FOTO: Facebook.com/MalaysianCubPrix

Menurut kenyataan terbabit, enam slot tersedia bagi para pemenang Klinik Cub Prix ini untuk mereka berlumba dalam musim 2019 Kejuaraan Cub Prix Malaysia, di mana peserta terdiri daripada pelumba berusia antara 13 hingga 22 tahun itu.

Jelasnya, melalui klinik terbabit ia merupakan pengalaman pertama untuk 48 peserta berlumba di litar perlumbaan sebenar, selain berlumba dengan cara yang betul dan selamat seperti mengenakan sut perlumbaan yang sesuai.

“Pelumba berusia 17 tahun dari Perak, Mohd Izzat Hakimi mengungguli kategori Honda dengan catat masa 9 minit 14 saat, tempat kedua Muhammad Shaifullah dan Abang Muhd Zulfayri Abang Sapawi ketiga.

“Bagi kategori Yamaha pula ia dimenangi oleh pelumba berusia 13 tahun dari Johor, Mohd Adam Haikal Jahar dengan catatan masa 8 minit 45 saat, kedua Khamirudin Abd Kadir dan ketiga melepasi garisan penamat ialah Muhamad Luqman Mohd Sani,” katanya.

“Bagaimanapun nama-nama pelumba yang akan mendapat tajaan pada perlumbaan untuk musim 2019 akan diumumkan oleh pihak Cub Prix dan KBS, di mana siri klinik ini turut mendapat sokongan daripada Hong Leong Yamaha Motors Sdn Bhd dan Boon Siew Honda Sdn Bhd,” katanya. – Bernama

Komen anda