The Blues tolak tepi spekulasi

245
Hazard dikaitkan dengan penghijrahan ke Real Madrid.

CHELSEA dihantui pelbagai spekulasi berhubung penghijrahan pemain pasukan itu menjelang perlawanan akhir Liga Europa menentang Arsenal, 30 Mei ini.

Pertahanan The Blues, Cesar Azpilicueta mahu rakan-rakan pemain tidak terganggu dengan spekulasi tersebut dan fokus menentang The Gunners untuk memastikan trofi Liga Europa menjadi milik pasukan itu.

"Seperti biasa, apabila jendela perpindahan dibuka, kami akan banayk mendengar spekulasi. Ia seperti satu kebiasaan buat kami.

"Tapi, saya yakin semua orang di kelab ini sangat fokus kepada perlawanan akhir tersebut. Kami bekerja bersama dan berlatih untuk perlawanan itu.

"Selepas perlawanan akhir itu nanti, kita boleh kembali bercerita soal perpindahan pemain. Buat masa sekarang jangan ganggu pemain Chelsea," katanya.

Spekulasi yang paling kuat tersebar adalah mengenai perpindahan Eden Hazard yang dikatakan akan berhijrah ke Real Madrid setelah tujuh musim berbakti bersama Chelsea.

Bagaimanapun, pengendali pasukan, Maurizio Sarri berharap agar Hazard akan terus kekal di Chelsea namun dalam masa sama menghormati keputusan yang dibuat pemain Belgium itu.

"Seperti saya katakan sebelum ini, saya mahu menghormati keputusannya.Saya harap dia kekal bersama kami tetapi kami harus bersedia jika dia membuat keputusan sebaliknya. Jika saya bercakap dengannya, saya tidak mahu berkata apa-apa.

"Hazard bagus untuk semua pasukan, itu sudah pasti tetapi dia sangat hebat bersama kami," katanya.

Kontrak Hazard di Stamford Bridge bakal tamat penghujung musim depan dan selepas aksi terakhir Liga Perdana Inggeris bagi musim 2018-19, bintang Belgium itu memberitahu telah membuat keputusan dan memaklumkan kepada kelab.

"Saya harap pengurusan kelab membuat keputusan yang betul sama ada mahu melepaskan Hazard atau tidak," katanya.

Komen anda