The Cops buru dua terbaik

181
KUALA LUMPUR, 11 Jan -- (dari kiri) Andre Francisco Williams Rochada Silva dari Brazil, Rexhovia Benjamin dari Montenegro dan Changhoon Lee dari Korea bergambar bersama pada majlis menandatangani tiga pemain baharu pasukan berkenaan untuk saingan Liga Malaysia 2019 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini. -- fotoBERNAMA (2019) HAKCIPTA TERPELIHARA

PASUKAN Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) meletakkan harapan tinggi dengan mengintai kedudukan dua pasukan terbaik saingan Liga Premier 2019 yang akan bermula awal bulan depan.

Setiausaha Agung PDRM FA, ACP Zulkefly Yahya yakin sasaran berkenaan mampu dicapai dengan kehadiran tiga pemain import baharu iaitu Lee Chang Hoon dari Korea Selatan, Benjamin Redzovic (Montenegro) selain Andrezinho dari Brazil yang pernah bersama pasukan berkenaan pada musim 2015 dan 2016.

PDRM FA turut mengekalkan khidmat adik kepada Benjamin iaitu Argzim yang beraksi dengan skuad 'The Cops' musim lepas.

"Kami optimis pasukan ini mampu pergi jauh pada musim ini dengan kehadiran beberapa pemain import dan kami mengikat kontrak selama setahun dengan kesemua pemain berkenaan.

"Kami bagi sasaran kepada jurulatih (Mohd Fauzi Pilus) untuk muncul juara atau tempat kedua bagi membolehkan kami layak ke Liga Super pada 2020,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani tiga pemain berkenaan semalam.

Mengulas lanjut, Zulkefly menjelaskan PDRM mengambil keputusan untuk menggunakan sebahagian besar anggota polis selain mengekalkan khidmat dua pemain tempatan iaitu Muhammad Fakhrul Aiman Sidid dan Shahurain Abu Samah sebagai langkah penjimatan perbelanjaan pasukan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Fauzi optimis sasaran kelompok dua pasukan terbaik Liga Premier 2019 mampu dicapai menerusi beberapa aksi pemanas badan yang diadakan sebelum ini.

"Alhamdulillah, kami sudah menghadapi beberapa aksi persahabatan dan persefahaman semakin baik. Kehadiran pemain seperti Lee dan Benjamin menambah kekuatan kepada pasukan ini dan saya nampak mereka sudah mula menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan kami,” katanya.

Berkongsi pandangan sama adalah pengurus PDRM FA, Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang melaungkan keyakinan sasaran dua kelompok terbaik mampu diraih skuad 'The Cops' walaupun menggunakan sebahagian besar anggota polis.

"Saya percaya dengan skuad yang ada, kami mampu memberikan saingan kepada pasukan lain. Selepas beberapa perlawanan pemanas badan termasuk menentang juara Piala Malaysia 2018, Perak, baru-baru ini, saya optimis pasukan ini mampu pergi jauh dalam Liga Premier,” jelasnya.

Untuk rekod, PDRM menamatkan saingan Liga Premier 2018 di kedudukan kelima daripada 11 pasukan selain mara sehingga ke pusingan kedua Piala FA.

Pasukan berkenaan turut gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia 2018 setelah menduduki tempat tercorot daripada empat pasukan dalam kumpulan B.

Komen anda